Novel : Kemelut Kasih - Part 9
~NiNe~
Bab 9
Shahrul membonceng Suraya menuju ke Fakulti Ekonomi dan Pengurusan kerana pada pukul 10.00 pagi nanti mereka mempunyai kelas Islamic Banking yang akan diajar oleh Dr. Fikry nanti. Sambil menunggang motor, dia memandang sepintas lalu jam di tangannya - 9.52 pagi. Suraya di belakang memeluk pinggangnya erat. Shahrul menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduannya.
"Shah, balik kelas nanti temankan I pergi The Mines ye…," suara Suraya daripada belakang. "I nak beli barang la…" sambungnya lagi manja.
"Nak beli apa?" Soal Shahrul ingin tahu.
"Eh, mana boleh cakap… rahsia orang perempuan …"
Shahrul tergelak kasar. "Ha.. ni mesti nak beli 'benda' tu nie…." Duga Shahrul serkap jarang. Dia tergelak lagi.
Suraya menepuk bahu Shahrul manja. "Eee… teruk la you ni… dirty minded…. Bukan benda tu la…" jawab Suraya balik.
"Dah you jugak yang cakap benda orang perempuan, benda apa lagi?" Ujar Shahrul pula menyoal balik. Dia memberi isyarat ke arah kiri dan memandu TZMnya menghala ke arah fakultinya, FEP.
Setelah mendapat tempat untuk meletakkan motornya, mereka berlalu ke Bilik Kuliah 7 yang terletak di tingkat satu itu. Suraya berjalan menyainginya di sebelah.
Sepatutnya mereka berdua telahpun habis pengajian pada semester lepas lagi, tetapi memandangkan Suraya tidak lulus satu mata pelajaran dan terpaksa mengulang balik Intermediate Accounting 2 pada semester 3 dahulu menyebabkan Suraya terpaksa melanjutkan satu semester pengajian lagi. Oleh sebab itu, dia juga terpaksa menyusun kembali subjek yang patut diambilnya agar bersesuaian dengan jangka masa pengajian selama tiga tahun setengah bagi menemani buah hatinya itu.
Bila difikirkan kembali, cemburu jugak rasa hati apabila mengenangkan rakan-rakan yang sudahpun bekerja dan bakal bergraduat pada bulan Julai nanti sedangkan dia masih lagi belajar.
Sewaktu mereka memasuki bilik kuliah itu, Dr. Fikry sudah pun mula mengajar Bab 5 bagi menyambung kuliah mereka pada minggu lepas. Nampaknya beberapa orang rakan sekelas yang lain turut sama terlambat. Mungkin mereka mempunyai kelas lain sebelum ini, ataupun juga kelas tutorial. Selepas itu mereka kembali menumpukan perhatian kepada kuliah yang disampaikan oleh Dr. Fikry itu. Kelas itu tamat sepuluh minit sebelum pukul 1 tengah hari.
Memandangkan kelas mereka yang seterusnya adalah pada pukul 5 petang nanti, maka mereka meneruskan rancangan untuk ke The Mines Shopping Fair di Seri Kembangan itu seperti yang dikehendaki Suraya tadi. Lebih kurang 10 minit perjalanan, mereka pun sampai ke situ. Setelah mengunci motosikal kesayangannya, mereka berjalan menuju ke elevator yang terletak di Basement 2 itu untuk menuju ke destinasi yang ingin di tujui.
Sewaktu mereka memasuki X-tra, sebuah pasaraya di dalam The Mines itu, Shahrul terpandangkan Charina yang sedang berjalan bersama seorang lelaki dan diekori oleh seorang perempuan yang berjalan di belakangnya. Mereka tergelak-gelak mesra tanpa menyedari diri mereka diperhatikan.
Mata Shahrul tajam melihat aksi tunangannya yang tergelak-gelak sedari tadi sambil memilih buah-buah epal hijau yang berkenan di hatinya. Mungkin ada cerita lucu yang menyebabkan dia tergelak begitu. Sementara si lelaki turut sama membantu memilih sambil meletakkannya ke dalam plastik yang diambil. Mesra! Kawan perempuan mereka yang seorang lagi berjalan ke sebelah satu lagi untuk memilih buah lai dan buah oren.
Satu perasaan yang asing timbul di hatinya melihatkan Charina bersama lelaki lain. Waktu itu dia tidak menyedari ke arah mana Suraya pergi kerana matanya asyik tertumpu kepada Charina semenjak mereka memasuki pasaraya itu tadi. Setelah puas memilih, mereka bertiga berlalu ke arah makanan ringan. Shahrul kembali mencari teman di sebelahnya apabila dia menyedari Suraya yang sedang asyik memilih roti-roti yang dijual di bakery yang terletak tidak jauh dari kawasan buah itu.
"Shah, marilah tengok you suka yang mana…..," suara Suraya merengek manja.
Shahrul beralih menuju ke arah Suraya. "Eh, you yang nak makan, apasal I pulak yang nak kena pilihkan… ikut you punya selera la…. " jawab Shahrul senang. Matanya kembali memandang ke arah Charina dan teman-temannya berlalu tadi.
Siapa budak lelaki tu? Apa hubungannya dengan Charina? Pelbagai soalan muncul di benaknya kala itu. Hatinya tiba-tiba berasa bergetar tetapi dia tidak tahu kenapa. Apakah aku jelous? Entahlah…. Matanya masih memandang tetapi kelibat mereka sudah hilang.
"Shah, jomlah pilihkan…." Suara Suraya manja.
"Alah, susah-susah saja you beli semua dah le…." Putus Shahrul senang sambil membelek-belek beberapa jenis croissant dan cream puff yang terdapat di depannya. Hmmm… sedap jugak nie…. Sekali lagi matanya memandang ke arah Charina tadi.
"Yang, you pandang apa tu?" Soal Suraya yang mulai perasankan gelagat kekasihnya itu.
"Haa ? Takde apa-apa la…. You dah pilih belum?"
"I beli wafer dengan kek ni dah lah ya…." Soal Suraya sambil mengunjuk kek coklat yang terbungkus kemas di dalam bekas plastik tahan lama itu.
"Haa…ok..," ringkas jawapan daripada Shahrul. Sebenarnya separuh hatinya ingin mengekori langkah Charina sementara separuhnya lagi menyuruh dia keluar sahaja daripada situ agar tidak bertembung dengan tunangnya itu.
Suraya mencapai bakul yang disediakan khusus oleh pihak pengurusan X-tra bagi kemudahan pelanggannya dan meletakkan kedua-dua makanan yang dibelinya tadi.
"Shah, you round la area sini, I nak ke sana kejap."Beritahu Suraya lalu berlalu ke arah bahagian hujung pasaraya tersebut yang mempamerkan barangan toileteries.
"Okey…"
Shahrul berjalan-jalan sambil melihat-lihat barangan yang terdapat di sekitarnya. Selepas itu dia berjalan menghala ke arah makanan ringan berupa jeruk, asam dan makanan jenis kekacang itu. Sesekali tangannya pantas mengambil beberapa keping asam dan juga beberapa biji kekacang itu meskipun sudah diletakkan label tidak boleh rasa di situ.
Alah, baik jangan letak, orang still buat jugak……, cetus hati Shahrul sendiri. Kalau nak beli tu mesti nak rasa dulu, takkan tak boleh kot…., fikirnya lagi. Secara kebetulan terdapat dua gadis yang sedang mengambil beberapa biji asam dan butir kekacang itu. Dia tersenyum apabila terpandangkan dua orang gadis manis yang bertudung itu mengambil beberapa biji asam dan mengunyahnya rakus sambil tangan mereka sibuk mengaut kekacang itik yang disalut tepung pedas itu ke dalam plastik.
Salah seorang gadis tersebut terpandangkan pandangan Shahrul itu tersengih sambil berbisik kepada rakannya itu. Setelah itu kawan si gadis tadi turut memandang ke arahnya dan menghadiahkan senyuman nipis. Shahrul hanya memandang sambil mengangkatkan keningnya. Selepas itu dia juga turut menunjukkan kekacang yang berada di genggamannya kepada gadis-gadis yang berdiri selang dua barisan di hadapannya. Mereka memahami yang Shahrul turut mengambil makanan di situ tergelak-gelak kecil. Shahrul membuat muka bodoh sambil berjalan menuju ke arah bahagian coklat dan candy di situ.
"Eh, Shahrul….," Shahrul terdengar satu suara menegurnya di sisi. Dia yang sedang leka menimbang sama ada mahu membeli Kit Kat dan Cadbury ataupun mahu membeli coklat bar Vochelle sama itu terperanjat. Dia berpaling ke arah suara tersebut.
"Eh, Rin…," Suara Shahrul apabila mengenalpasti Charina yang menegurnya itu. Di sisi Charina berdiri seorang gadis manis berkulit hitam manis yang tinggi lampai, lebih tinggi dari Charina itu, melemparkan senyuman kepadanya.
"Buat apa kat sini?" Masing-masing saling melontarkan pertanyaan yang sama. Mereka ketawa kecil setelah insiden lucu itu berlaku dan kemudian suasana hening seketika.
"Saja datang membeli-belah…..," suara Charina setelah beberapa detik mereka saling mendiamkan diri. "Oh, kenalkan…. ni Kak Linz roomate Erin…," sambung Charina lagi. "Kak Linz, ni Shahrul. Shahrul, ni Kak Linz." Ujar Charina memperkenalkan diri masing-masing. Mereka saling menganggukkan kepala dan berbalas senyum. Sepintas lalu Charina lihat tiada Suraya di sisi Shahrul, berbeza dari kebiasaan.
Eh, pelik jugak… takkan datang sorang kot…, muncul soalan itu di benaknya. Sewaktu dia berura bertanyakan Suraya, Faizul datang merapati mereka dari belakang Shahrul sambil memegang wafer, cream puff dan kek sama seperti yang dibeli oleh Suraya tadi.
"Ada nak beli apa-apa lagi tak…?" Soal Faizul sambil berjalan menuju ke sebelah Charina dan mengambil bakul yang penuh dengan barangan itu dari tangan Charina. Dalam kaget, Charina enggan membenarkan lelaki tersebut mengambilnya tetapi memandangkan pandangan mata Shahrul yang tajam memerhati adegan itu menyebabkan hatinya bergetar. Cepat-cepat dilepaskan tangannya apabila tangannya bersentuhan dengan lelaki itu yang kemudiannya mengambil alih memegang bakul itu dari tangannya.
"Err, kenalkan ini Faizul Azlani…..," belum pun sempat dia habis menambah bahawa Faizul itu merupakan rakan Kak Linz kepada Shahrul, secara tiba-tiba Suraya muncul pula dari sebelah belakang mereka.
"Shah, puas I cari you…. Kat sini rupanya you…," Suara Suraya manja. Dia berjalan terus melepasi mereka bertiga dan merapati Shahrul lalu memaut lengan Shahrul manja. Di waktu itu Charina dan Shahrul saling bersabung pandang. Tetapi seketika cuma. Masing-masing sukar untuk menebak isi hati masing-masing dalam suasana sebentar cuma.
Faizul menghulurkan salamnya dan kedua-dua pemuda itu berjabat tangan mereka kemas. Faizul melemparkan senyuman ramah ke arah Shahrul dan menepuk bahunya mesra dan dibalas senyuman ringkas daripada Shahrul. Pandangan penuh kehairanan terbit di sebalik mata bundar Suraya melihat Shahrul mengenali mereka semua. Setelah itu Shahrul meminta diri dan berjalan bersaingan dengan Suraya menuju ke kaunter pembayaran.
"Siapa tu Shah…?" Suara Suraya jelas kedengaran di pendengarannya meskipun sudah beberapa langkah di hadapan sana. "You kenal mereka ke….?" Dia tidak mendengar apa yang dijawab oleh Shahrul tetapi selepas itu dia mendengar Suraya sekali lagi menyoal Shahrul bahawa Charina itu adalah budak fakulti mereka. Setelah itu dia tidak mendengar lagi kerana Faizul yang berada di sebelah mencuitnya menyedarkannya di mana dia kini.
"Siapa tu tadi, Rin…" Soal Kak Linz ingin tahu.
"Kawan satu fakulti….," jawab Charina ringkas. "…. yang pernah berlakon bersama dengan Rin dulu sewaktu pementasan hari keluarga fakulti kami dulu tu… ingat tak?"
"Ooo… yang Rin pernah cerita dulu tu ya..?"
"Hmmm…" aku menganggukkan kepala perlahan.
Faizul yang berada di antara mereka itu memandang ke arah kaunter pembayaran Shahrul dan Suraya tadi tetapi mereka sudah pun berlalu.
"Handsome…," ujar Faizul memberi komen dan tersenyum nakal.
"Ex-pakwe ke…?" Soal Faizul lagi sambil melemparkan senyuman, bergurau sebenarnya.
"Taklah…," pendek aku membalas. Tunang!! Tetapi kata-kata itu hanya terluah di dalam hatinya sahaja .
"Erin ada nak beli apa-apa lagi ke?" Soal Kak Linz pula sebentar kemudian sambil membelek-belek coklat yang dipegang oleh Shahrul tadi. Mungkin Shahrul tidak jadi membelinya kerana coklat yang dipegangnya tadi diletakkan kembali kemas di atas rak di situ sebelum dia berlalu bersama Suraya tadi. Setelah berkira-kira seketika, Kak Linz meletakkan coklat Cadbury dan Kit Kat itu ke dalam bakul mereka.
Charina menggelengkan kepalanya.
"So, boleh kita bayar sekarang?" Soal Faizul pula memegang bakul sambil mendahului mereka menghala ke kaunter pembayaran. Mujurlah orang tidak ramai di waktu itu. Setelah siap membayar, mereka bersama-sama menuju ke KFC yang terdapat di dalam The Mines itu. Selepas menjamu selera dengan ayam goreng kesukaan mereka bersama itu, mereka kembali beredar untuk pulang ke kolej.
Faizul memandu tenang kereta Honda Civicnya melalui jalan Desa Serdang untuk pulang ke UPM. Suasana di dalam kereta sunyi apabila masing-masing melayan angan di selangi dengan lagu-lagu terkini daripada saluran Radio Era itu.
Charina menyandar selesa di bahagian belakang kereta sambil fikirannya kembali melayang teringatkan pertemuan yang pertamanya dengan Faizul Azlani, rakan sekolah Kak Linz dulu yang pernah menelefonnya dahulu.
Sebaik selepas kembali daripada tandas selepas menerima panggilan daripada Faizul itu, Kak Linz pulang daripada study groupnya yang sedang menyiapkan assignment utama bagi kertas subjek major mereka. Charina terus memberitahu Kak Linz tentang panggilan daripada Faizul itu.
"Eh, siapa telefon Kak Linz tadi? Faizul ya… Faizul Azlani..?" Suara seniornya itu gembira. Riak wajah Kak Linz, seniornya dua tahun itu kelihatan gembira bercampur terkejut. Sekarang Kak Linz sedang menduduki tahun akhir Bacelor Sastera pengajian Bahasa Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di UPM ini.
"Ya…. Tapi kenapa Kak Linz…" Soal Charina hairan. "Ooo… ni mesti pakwe ni….," sambung Charina lagi menduga.
"Takde la… dia kawan karib Kak Linz sewaktu kami Form Six dulu…. Selepas sekolah kami putus hubungan…., Kak Linz dapat peluang lanjutkan pelajaran ke sini. Sedangkan dia dengar khabarnya ke overseas. UK kot…. " jelas Kak Linz lagi. "Tapi tak sangka pulak dia dapat nombor telefon Erin ni…., mungkin mak Kak Linz yang kasi…. Kalau tak pun abang Kak Linz yang bagi…" Panjang lebar penjelasan daripada Kak Linz itu.
"Ooo…begitu kisahnya….." ujarku berminat. Mataku kembali mencerun ke arah Kak Linz nakal. "Ke betul dia tu ex Kak Linz dulu…? Nak rahsia lah tu…" Usikku lagi.
"Eee… budak ni, orang cakap tak percaya… betul…. " Beria dia menafikan.
"Yalah… yalah… Rin percaya…." Ujarku sambil mengangkat sebelah tanganku berhampiran telinga dan sebelah lagi aku letakkan di dadaku. Selepas Solat Asar aku kembali memanjat katilku di tingkat atas. Di bawah adalah katil Syikin yang sedari tadi masih belum balik daripada kelas. Kak Linz pula terus ke tandas untuk membersihkan badan dan menunaikan solat. Beberapa minit kemudian Syikin kembali dari kelas kemudiannya diikuti dengan Yati dan Ita.
Seminggu kemudian sekali lagi Faizul menelefon dan kali ini dia berpeluang untuk bercakap sendiri dengan Kak Linz. Rupa-rupanya dia on the way ke mari untuk bertemu Kak Linz. Rindu katanya setelah lama tidak berjumpa dengan rakan lamanya itu. Aku turut merasakan Kak Linz berperasaan demikian. Setengah jam kemudian dia sampai dan Kak Linz turun ke foyer Napuh untuk berjumpa dengannya. Selepas itu kira-kira 15 minit kemudian dia naik kembali mengajakku turun sama kerana Faizul ingin berkenalan denganku. Memandangkan Faizul itu rakan Kak Linz, aku tidak keberatan untuk turun menemuinya.
"Eh, takkan berborak aje… jom la saya belanja awak Linz… dan Charina ni pun tentu dah dahagakan….," katanya mengenakan aku dalam diam.
Cheh! Kurang asam…nasib baik handsome…. kalau tidak…..
"Takde tempat makan ke kat sini?" Sambungnya lagi. Mungkin terlalu gembira dan banyak cerita yang ingin dikongsi sebab sudah lebih tiga tahun mereka tidak bertemu. Melalui percakapan mereka, aku dapat rasakan mereka boleh dikatakan rapat sewaktu bergelar pelajar sekolah dulu. Pelbagai cerita yang mereka bualkan. Aku di sini hampir-hampir menjadi tunggul kayu mati sahaja. Sewaktu aku meminta diri untuk naik ke bilik, mereka tidak membenarkan kerana mahukan aku menemani mereka berbual. Huh! Menemani apa… jadi batang kayu hiasan ada le…..
"Ada kafeteria kat atas tu, tapi tadi diorang ada mesyuarat…,"ujar Kak Linz merujuk kepada anggota-anggota Majlis Tertinggi Kolej (MTK) yang mempunyai mesyuarat dengan Tuan Pengetua dan fellow-fellow kolej ini selepas waktu Asar tadi di ruang kafeteria tersebut.
"Gini le… apa kata kita gi SS jer…," cadangku ringkas kerana nampaknya Faizul beria-ia mahu berbual panjang dengan Kak Linz.
"SS tu apa?" Soal Faizul ingin tahu.
Aku dan Kak Linz ketawa. 'SS' tu Seri Serdang la… awak nie…" Kak Linz menjelaskan.
"Ooo mana la saya tau, by the way saya ok jer… tapi saya datang ngan motor tadi ni… takkan nak bonceng awak berdua kot…." ujarnya sambil menunjukkan motosikal RXZnya. Dia tersenyum mengulum. Mungkin tengah membayangkan aksi kami bertiga menaiki motosikalnya. Mesti aku yang kena duduk ditengah-tengah dan melekat di belakang Faizul itu. Eeee… tak nak aku….. "Tapi…best gak kan…?" Suara Faizul kemudiannya pula. Gataalll !!
"Takpe la… naik kereta saya lah…"Ujarku menawarkan bantuan.
"Ooo ada kereta? Okay, beres…. Awat tak habaq awai-awai…?"
"Dah tak tanya…."Balasku kembali.
Setelah itu kami berangkat ke SS, tetapi sebelum itu kami singgah terlebih dahulu di Kolej Ke Enam yang terletak di antara Kolej Canselor dan Kolej Kelima untuk menjemput seorang lagi rakan sekelas mereka sewaktu sekolah dahulu yang menuntut di situ juga. Sewaktu pergi aku yang memandu kereta Swiftku itu, tetapi apabila pulang, Faizul menawarkan diri untuk memandu.
Setelah menghantar Afidah, rakan mereka, kami melalui jalan Kolej Kelima dan sewaktu melalui jalan itu, court bola tampar dipenuhi dengan ramai pelajar lelaki yang bermain takraw, di mana tanpa Charina sedari Shahrul telah melihatnya berada di dalam kereta bersama seorang lelaki lain dan ditemani seorang lagi perempuan. Selepas melihat Charina dan seorang lelaki menaiki kereta bersama itu, timbul perasaan curiga di hati Shahrul terhadap Charina.
Selama ini dia melihat Charina bersih dari sebarang ikatan dengan sebarang lelaki meskipun dia sedar ada di kalangan rakannya sendiri yang meminati Charina sedari dulu lagi. Sehingga ada yang sanggup memberi bunga, coklat dan beberapa hadiah lagi tanpa memberitahu nama mereka yang sebenar sewaktu menjelang hari Kasih Sayang dulu, di mana sewaktu itu banyak perkhidmatan tempahan yang dibuka untuk dedication bunga, candy dan epal buat insan-insan tersayang ataupun kepada secret admire mereka. Biasanya perkhidmatan seperti itu dibuat sendiri oleh para pelajar yang mahu mencari wang tambahan ataupun oleh beberapa persatuan sebagai salah satu aktiviti tahunan mereka.
Selepas pertemuan yang pertama itu, Faizul kerap kali juga datang melawat mereka di situ jika tidak bekerja ataupun bercuti. Sekarang dia menjawat jawatan Jurutera di sebuah syarikat antarabangsa yang membuka cawangan di Malaysia ini selepas menamatkan pelajarannya di UK beberapa bulan yang lalu. Ini merupakan kali kelima mereka keluar bersama. Meskipun baru sahaja berkenalan dengannya, Charina berasa selesa dan senang berkawan dengannya kerana dia amat baik dan gentle orangnya…. Dan jugak… handsome……. He…he…..Gaataaaalll!!! Charina tersenyum sendiri.
Nampaknya Faizul juga amat rapat dengannya. Adakalanya Kak Linz akan meninggalkan mereka berdua sahaja apabila ada discussion dan assignment yang perlu disiapkan. Semenjak akhir-akhir ini kami semakin rapat. Dan Kak Linz seolah-olah menggalakkan hubungan itu dalam diam. Aku pening seketika. Ingatkan nak rapatkan mereka, akhirnya aku yang terkena!
Comments