Novel : Kemelut Kasih - Part 20
Bab 20
“S
|
ue… mari makan, nak…,” suara Mak Limah dari luar pintu anak
Dato’ Zahari itu. Kali ini sudah masuk lapan kali dia mengetuk pintu bilik
Suraya. Namun tiada tindak balas. Petang tadi, Suraya balik dengan mata merah
dan muka yang masam mencuka. Kakinya yang berskirt pendek itu dihentak kuat-kuat
seolah meluah perasaan tidak puas hati.
Sebetulnya,
dari ngauman enjin keretanya sewaktu memasuki kawasan banglo ini pun Mak Limah sudah mengetahui ada yang tak kena
dengan Suraya. Dan dari hempasan pintu keretanya juga dia sudah mengetahui mood
Suraya yang tidak baik itu. Setibanya dia di banglo mewah tujuh bilik ini tadi,
terus dia meluru ke biliknya dan sampai sekarang masih belum keluar.
“Suraya… bukaklah pintu ni… mari
kita makan, Sue…,” pujuk Mak Limah lagi belum putus asa. Sebetulnya, dia sudah
memahami karenah anak manja Dato’ Zahari ini. Kuat merajuk, namun mudah
dipujuk!
“Sue…,” seru Mak Limah lagi.
Senyap.
“Sue… Mak Limah masak Ikan stim limau kegemaran Sue tu… Ayam Percik…. Sambal Tumis Udang… ”
Senyap
lagi.
“Sue… ,”
panggil Mak Limah untuk kali terakhir. Dia menunggu beberapa ketika sebelum
berlalu.
Baru dua langkah Mak Limah beredar,
terbunyi kiutan pintu bilik dibuka di belakangnya. Dia berkira-kira untuk
kembali ke ruang makan sebetulnya, untuk mengemas lauk pauk yang masih belum
terjamah, memandangkan Dato’ Zahari
dan Datin Farina juga masih belum
menjengukkan muka ke mahligai ini. Sepasang suami isteri itu sering sibuk
dengan urusan masing-masing. Ini mungkin menyebabkan Suraya berasa terasing
dari ibu bapanya.
Seingat Mak Limah, dia mula menjaga
Suraya semenjak dia berusia dua bulan lagi. Sebelum itu, abang-abang Suraya,
Shamsul dan Syairul dijaga oleh pembantu rumah sebelum itu, Kak Kiah yang
kemudiannya kembali ke kampung kerana
menjaga ibunya yang sakit. Setelah ibunya meninggal, Kak Kiah berhenti
terus dan menetap di kampungnya di Batu Pahat. Ketiadaan orang gaji menyebabkan
keluarga Dato’ Zahari mencari pembantu rumah yang baru.
Kebetulan,
mereka terjumpa Mak Limah yang berada di sebuah kedai makan sewaktu Dato’
Zahari berhenti membeli air. Dan
secara kebetulan juga, Mak Limah yang baru sahaja kematian suami dan tidak
mendapat sebarang cahaya mata sudi menjadi pembantu baru di rumah mereka. Tiga
hari selepas itu, Mak Limah sudah memulakan tugasnya di rumah banglo yang
tersergam indah di atas Bukit Damansara itu. Kini, setelah hampir 22 tahun
berlalu, segalanya masih jelas di ingatannya.
Wajah muram Suraya tersua di muka
pintu. Rambutnya yang panjang melepasi bahu agak kusut. Bajunya masih belum
bertukar. Suraya menggosok matanya beberapa kali. Baru bangun dari tidur
rupanya dia.
“Apa yang Mak Limah bisingkan nie…
orang nak tidur pun tak senang… kacaulah….,” suara Suraya merungut sambil
berlalu ke katilnya selepas menekan suis lampu. Pintu bilik dibiarkan terbuka.
Mak Limah teragak-agak sebentar, sama ada masuk ke dalam ataupun kembali
meneruskan niat asalnya tadi. Dua saat kemudian dia melangkah ke dalam menuruti
jejak langkah Suraya dan duduk di kerusi sofa ala Cleopatra yang diletak elok
di penjuru katil. Suraya membaringkan belakang badan sambil menaikkan kedua
kakinya ke atas. Skirtnya yang pendek itu mendedahkan lagi kakinya yang putih
melepak. Mukanya masih muram, dan sengaja dimasamkan. Matanya agak bengkak
dengan sisa air mata yang masih jelas di bibir mata.
Mak Limah bangun dan membelek pasu berisi bunga mawar hidup yang
dihias di atas meja sudut di sisi almari buku yang terletak di antara almari
pakaian lima
pintu yang mencecah lelangit itu. Suasana agak romantik kerana Suraya hanya
menghidupkan lampu chandeliar sewaktu
membuka pintu tadi. Sebelum itu, dia bergelap di dalam bilik. Mak Limah
membetulkan sedikit jambangan bunga yang masih segar itu. Ia ditukar dua hari
sekali. Bunga-bunga itu dipetik dari taman yang dijaga oleh Pak Rashid di
halaman sana .
Dia kembali mengatur langkah ke sisi Suraya dan duduk di tepi birai katil
bercadar indah itu.
Suraya menongkat kedua tangannya ke
mukanya sambil kedua-dua kakinya dihayunkan secara berselang-seli. Kepalanya
dianggukkan mengikut rentak dari hi fi yang dibuka perlahan.
“Jom Sue… makan…,” suara Mak Limah
lagi. Dia mengusap-usap lembut rambut Suraya yang mengurai.
“Banyak Mak Limah masak lauk tadi
sebab Papa dan Mama kata nak balik makan awal tengah hari tadi. Tapi, sampai
sekarang pun tak nampak muka lagi….,” tambah Mak Limah.
“Marilah…. Penat Mak Limah masak…”
Suraya mengangkat mukanya. Mulutnya
dicebekkan. Kepalanya digelengkan perlahan.
“Sue takde selera la Mak Limah…,”
suaranya manja. Dia bingkas dari
baringan dan duduk bersila mengadap Mak Limah. Mulutnya dimuncungkan.
Mak Limah masih membelai-belai lembut rambut anak emas Dato’ Zahari itu.
“Kenapa dengan Sue ni… dari tadi
asyik berkurung…. Cuba
cerita dengan Mak Limah apa masalahnya…,” pujuk Mak Limah cuba mengambil
hati anak dara itu.
Suraya senyap dan kepala
digelengkan.
“Tengok tu… mata dah bengkak dah…
sikit lagi meletup la tu….,” tambah Mak Limah lagi berseloroh. Sebenarnya,
Suraya sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Tambahan pula dia juga tidak
mempunyai sebarang cahaya mata. Hanya pada anak-anak Dato’ Zahari sahaja
tempat dia bermanja, apatah lagi Suraya yang telah diasuh dan dijaga dari usia
dua bulan lagi.
Senyap.
“Sekejap Mak Limah nak tilik. Emmm,
nampak gayanya.. ini masalah orang muda ni… masalah cinta…,” suara Mak Limah
lagi berseloroh sambil menduga sebenarnya.
Suraya tetap membisu. Kepalanya
ditundukkan ke bawah. Rambutnya yang panjang itu menutupi wajahnya.
“Kenapa tak nak cerita dengan Mak
Limah… cuba
cerita sikit… bolehlah Mak Limah bantu sikit-sikit,” pujuk Mak Limah lagi tidak
putus asa.
Suraya menghayunkan badannya ke kiri
ke kanan, namun masih belum bersuara. Setelah beberapa lama berlalu, Mak Limah
mula mengangkat punggungnya untuk berlalu.
“Mak Limah….,” suara Suraya
akhirnya. Ada
sendu di situ. Dia mengangkat kepalanya. Mak Limah menoleh. Air mata berlinang
di pipi Suraya.
“Mak Limah….,” Suraya mula menangis.
Air mata semakin lebat. Mak Limah kembali ke sisi Suraya. Dia memeluk badan
lampai anak gadis itu dan mengusap belakang badannya perlahan.
“Mak Limah….,” bergetar suara
Suraya. Badannya terhenggut-henggut menahan tangisan. Belakang badan Mak Limah
panas dihujani air mata yang sedang lebat itu. Dia sabar menunggu kata dari
Suraya. Biarlah dia menangis sepuas hati dahulu. Belum pernah dia menangis
sebegini teruk.
Mak Limah sudah lama mengenali
perangai anak gadis seorang ini. Suraya memang manja orangnya, tetapi juga
degil. Dilahirkan sebagai anak bongsu
Dato’ Zahari, dia memang suka mengikut kata hatinya. Mungkin juga kerana
sudah biasa dimanja dari kecil lagi. Apa yang diminta pasti akan dipenuhi.
Namun dia mudah dipujuk.
“Shahrul….,” terpacul nama anak muda
yang biasa disebut oleh Suraya kepadanya sejak dari dulu lagi. Kemudian dia
berhenti sambil menarik esak.
“Kenapa dengan Shahrul… kamu
bergaduh dengan dia lagi..??” soal Mak Limah pantas ingin tahu. Dia telah lama
mengetahui akan hubungan percintaan Suraya dengan anak bekas Penolong
Pesuruhjaya Polis Negeri Johor itu. Seingatnya, mereka mula bercinta semenjak dari
Suraya menduduki program matrikulasi lagi. Jadi secara kasarnya, sudah hampir lima tahun mereka
berkawan.
“Shahrul dah bertunang, Mak Limah….
Shahrul dah bertunang…..,” ujar Suraya dalam tangisan. Akhirnya tahu juga Mak
Limah perkara duduk sebenar. Meskipun agak terkejut, namun Mak Limah
menerimanya dalam tenang.
Seingat Mak Limah, budak Shahrul
yang berkawan dengan Suraya selama ini memang baik orangnya. Bertanggungjawab,
jujur, handsome pulak tu…. Malah, orang kata boleh dibuat calon suami yang baiklah.
Dan dia amat berkenan dengan perangai Shahrul yang pandai menghormati orang
tua. Tidak seperti sesetengah anak muda zaman sekarang yang sudah lupa dengan
adap sopan dan tata susila. Apatah lagi di kalangan orang Melayu yang kaya
dengan adat resam. Semuanya gara-gara pengaruh budaya barat yang semakin meluas
dewasa ini. Dengan muziknya yang membingitkan, dengan bajunya yang ntah
hapa-hapa. Terdedah sana …
terdedah sini…. Hancur….!
Mak Limah tahu, anak gadis Dato’
Zahari ini juga agak lincah dan bebas akibat terpengaruh dengan gaya hidup moden kerana
sudah terbiasa dengan corak kehidupan elit di bandar ini. Pakaiannya dari
jenama yang mahal belaka dengan fesyen yang adakalanya menjolok mata. Sebab
itulah dia berharap Shahrul dapat mengubah sedikit demi sedikit corak kehidupan
Suraya dan juga cara pemakaian yang semakin sakit mata memandang bagi pihak
diri Mak Limah.
Puas
sudah dia menyuruh Suraya memakai pakaian yang lebih sopan seperti kebaya
ataupun baju kurung. Paling tidak pun
seluar panjang yang lebih longgar. Ini tidak, kalau tidak skirt pendeknya,
tentu dengan seluar mantap yang ketat di peha dan baju yang singkat serta
ketat. Terutamanya apabila keluar dengan bekas rakan sekolahnya. Jika di UPM,
pakaiannya masih dikira ok biarpun adakalanya agak seksi. Hmmh.. Mak Limah
mengeluh sendirian. Namun, anak gadis ini mudah dibentuk, sama banyak dengan
mudah terpengaruh. Fleksible, orang
sekarang kata…..
Mak Limah angguk kepalanya perlahan
dan menepuk-nepuk bahu Suraya.
“Bawak bersabar…. Cuba cerita
perkara sebenar…, Mak Limah nak dengar….,” suara Mak Limah tenang. Seolah ibu
yang menasihati anaknya. Malah, Mak Limah lebih memahami Suraya berbanding
Datin Farina yang senantiasa sibuk berpersatuan
itu.
Sambil tersedu dan sesekali menarik
esak, Suraya menceritakan kisah sebenar dari awal sampailah ke akhirnya seperti
mana yang diceritakan oleh Shahrul
petang tadi. Tentang bagaimana dia dipaksa bertunang oleh keluarganya. Dan
rupa-rupanya, baru dia tahu bahawa keluarga Shahrul masih belum mengetahui akan
perhubungan mereka selama ini.
Berpuluh
kali Shahrul memohon maaf siang tadi. Namun tidak diendahkannya. Setelah habis
mendengar penerangan Shahrul itu, dia terus menuju ke keretanya dan
meninggalkan Shahrul sendirian di situ. Puas sudah Shahrul melaung memanggil
namanya, tetapi tidak diendahkan. Hatinya sakit dan kecewa mengenangkan sikap
sambil lewa Shahrul dengan perhubungan mereka. Baginya, Shahrul tidak serius
dengan perhubungan mereka selama ini.
Tadi,
puas sudah Shahrul menerangkan bahawa dia belum bersedia memberitahu ibu
bapanya, cuma sekadar hanya memberi hint
sahaja yang dia sedang berkawan dengan seseorang dan belum memberitahu secara
jelas kepada keluarganya bahawa dia sedang berkawan rapat dengan Suraya. Madly in love, sebetulnya! Dia berkira-kira
untuk membina kerjaya yang lebih kukuh terlebih dahulu, dan barulah dia akan
memberitahu yang dia sudah ada pilihan hati.
Namun,
ibu bapanya lebih pantas mencarikan jodoh untuknya. Anak rakan baik ayahnya
yang telah lama berpisah dijadikan calon. Dan kebetulan, gadis itu satu
universiti dengannya, jua satu fakulti. Satu kebetulan yang tidak disangka
pula, mereka pernah berlakon dalam satu teater yang sama, dan dipasangkan
sebagai sepasang kekasih pula. Apakah ini satu kebetulan ataupun ianya sudah
tersurat!
Bagi
Shahrul pada mulanya, dia memang membantah keras. Kononnya pertunangan itu
bertujuan untuk merapatkan talian persahabatan antara kedua keluarga mereka. Pergi mampuslah talian
persahabatan itu! Kenapa perlu dia yang dijadikan alatnya!! Huh! Saat itu, dia seolah tidak tahu berbuat
apa. Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Untuk menolak, dia tidak mampu. Pada
awalnya, dia ada membantah tidak mahu ditunangkan, namun bapanya tetap berkeras
dengan pilihannya. Kata itu bererti kota .
Jadi dia terpaksa akur!
Mak
Limah mengangguk kepala sehabis mendengar penerangan yang panjang lebar dari
Suraya. Berkali-kali dia mengangguk
kepalanya. Sambil tangannya terus mengusap-usap lembut rambut panjang yang baru
diwarnakan keperangan itu. Suraya masih menyapu air matanya yang masih bersisa.
Mata bundar itu tidak bersinar indah seperti biasa.
“Sabar,
anggaplah itu dugaan dari Allah…. Ada
jodoh kamu kelak, bersatu jugak kamu nanti…, janganlah bimbang….,” ucap Mak
Limah menasihati dan menyedapkan hati Suraya. Suraya membatu. Rasa sakit
hatinya pada Shahrul dan tunangannya, Charina masih membara.
“Nah…
sekarang, mari kita pergi makan… usah difikirkan soal ini lagi…,” ujar Mak
Limah sambil menarik tangan Suraya. Lambat-lambat Suraya bangun dan mengikut
langkah Mak Limah. Mereka turun ke bawah menuju ke ruang makan yang terletak
bersebelahan dapur.
Sedang
enak mereka menikmati makan malam itu, Datin Farina balik. Dia memandu BMW 325i
terkini dan tidak lama kemudian diikuti pula dengan Dato’ Zahari dengan
Mercedez Benz model terbarunya. Mereka sama-sama menyaingi Suraya dan Mak Limah
yang sedang enak menikmati hidangan.
“Eh,
kenapa dengan anak Papa ni… mata bengkak
semacam jer… ,” suara Dato’ Zahari sambil menjeling melihat muka Suraya
yang muram itu. Sejak dia tiba di meja makan itu, Suraya asyik menundukkan
wajahnya sambil asyik menyuap makanan meskipun lambat-lambat.
“Hmmh…
bergaduh dengan Shahrullah tu… apalagi….,” suara Datin Farina pula. Dia
menyenduk nasi ke pinggannya. Naluri seorang ibu menyatakannya sebegitu.
“Huh, cinta
monyet…!” tambahnya lagi. Tangannya ligat menyenduk kuah ikan percik. Kemudian
dia mencapai Daun Ulam Raja dan mencicahnya ke dalam sambal belacan. Dimakan
pula bersama nasi yang masih panas.
Sebenarnya
dia sudah mempunyai calon untuk dijodohkan dengan Suraya, tetapi Suraya terlalu
asyik dengan Shahrul. Memandangkan anak teruna pilihan hati Suraya itu juga
datang dari keturunan baik-baik dan
orangnya pun boleh tahan. Sekufu, begitu pendapat Datin Farina. Jadi dia tidak
banyak menentang perhubungan mereka. Lagi pula, Shahrul tidaklah terlalu rapat
dengan keluarga mereka, dan seingat dirinya pula, hanya tiga kali mereka pernah
bersua. Itu pun pada waktu mereka mula-mula mereka berkenalan.
Datin
Farina lebih berkenankan Harith, anak Datin Maznah yang baru habis belajar dari
UK
itu. Kini Harith telah menjadi salah seorang pengurus di salah sebuah syarikat
perkapalan milik ayahnya, Dato’ Mansur.
Nampaknya cerahlah harapannya untuk bermenantukan Harith itu. Dalam diam dia
senyum.
Dato’
Zahari memandang muka Suraya seimbas lalu dan menyuap nasi ke mulutnya.
“Betul ni Sue..?” dia meneguk pula air limau yang diletakkan olek Mak Limah di
hadapannya.
Senyap.
“Sue….,”
seru Dato’ Zahari lagi.
Suraya
mengangkat muka dan menentang muka papanya. Dia mencebekkan mulutnya. Kepalanya dianggukkan.
“Dia
dah bertunang pun…,” tambah Suraya lagi. Kini dia sudah bijak mengawal
perasaannya. Namun perit tetap tertanam jauh di lubuk hati. Dia tunduk lagi
menyuap nasi ke mulut. Dan kemudian mengangkat muka untuk melihat reaksi
papanya. Dato’ Zahari mengangkat kening kanannya tanpa suara. Datin Farina
yang turut sama mendengar semakin lebar senyumannya.
“Yang
awak senyum-senyum ni kenapa, Farina?” soal Dato’ Zahari melihatkan Datin
Farina yang masih leka dalam angannya.
“Takde
ape, cuma saya teringatkan si Harith anak Datin Maznah tu… haa… bolehlah saya
kenankan dengan Suraya, nampaknya.” Luah Datin Farina berterus terang. Dia
menoleh melihat reaksi Suraya. Anak gadis itu cuma diam sambil menghabiskan
suapannya yang terakhir.
“Macam
mana, bang?” soalnya pada suaminya meminta pendapat.
“Ish,
awak ni… budak baru patah hati, dia nak carikan pengganti pulak…. Biarlah dia
releks dulu… tenang-tenangkan fikiran…,” balas Dato’ Zahari.
“Inilah
masa yang sesuai, bang… tak sempat dia nak patah hati, kita dah cari pengganti…
bukan gitu Mak Limah..?” soalnya meminta pendapat Mak Limah.
“Apa-apa
yang baik ajelah, Puan…” Mak Limah senyum.
Suraya
membasuh tangan lalu bangun tanpa mempedulikan topik yang ditimbulkan oleh
ibunya itu.
“Haa…
tengok anak awak ni… orang cakap untuk kebaikan dia juga, tapi, dia buat tak
tahu aje…. Degil! Macam ayahnya jugak….,” bebel Datin Farina melihatkan sikap
Suraya yang negatif. Suraya sudah berada di anak tangga terakhir menuju ke
tingkat atas.
“Eh,
awak ni… marahkan anak, kita pula yang kena…, macam perangai ibunya jugak…,”
balas Dato’ Zahari pula. Dia menggeleng-geleng perlahan kepalanya.
Datin
Farina mendengus dan tunduk menghabiskan makanannya.
Dato’
Zahari tersenyum.
Farina….
Farina…. Tak habis-habis perangainya…
Comments