Novel : Kemelut Kasih - Part 21





Bab 21

  
               Masa perpisahan akhirnya tiba juga. Barang-barang semuanya telah dikemaskan. Bilik sudahpun kosong. Kunci-kunci juga baru dihantar ke Pejabat Am Kolej. Nampak gayanya, dia dan Yati juga akan berubah blok. Sementara Kak Linz dan Syikin akan keluar terus dari bumi UPM ini. Dan status pelajar mereka telah ditamatkan serta merta. Maklumlah, mereka sudah menamatkan pelajaran mereka… he.. he..
Yati telah ditempatkan di blok  Kijang sementara dia pula ke blok Rusa. Tapi, Charina pula memilih untuk menetap diluar kampus bersama-sama teman sekursusnya. Dia memilih untuk  menjadi PLK, Pelajar Luar Kampus. Mereka telah bersama-sama memilih untuk menyewa di sebuah rumah di area Serdang ini. Dia ingin merasa kehidupan di rumah sewa pula. Kehidupan di kolej yang padat dengan aktiviti sudah dirasa. Kini dia ingin merasa hidup bujang bersama rakan-rakan perempuan pula. Yalah, sementara belum menjadi hak orang…. 
Dua hari lepas dia telah memindahkan kesemua barang-barangnya ke rumah  baru mereka yang terletak di antara bandar Serdang dan Seri Kembangan ini. Anita juga turut menyewa bersamanya.
“Rin, Kak Linz balik dulu…,” ujar Kak Linz memandangkan ibu, ayah dan abangnya telahpun beredar ke kereta mereka setelah bersalam dengan mereka tadi.
Aku angguk.
“Jangan lupa Erin tau…,” aku menyalami tangannya. Aku mengeluarkan sebuah bungkusan dari beg di bahuku lalu diberikan kepadanya.
“Nah… hadiah sempena perpisahan kita… Contact-contact lah selalu, yea…”
“Eh, apa ni…?” soal Kak Linz pula agak terkejut. Dia membelek-belek bungusan itu. “Terima kasih, Rin…” senyum. Kami bersalaman dan saling melagakan pipi. Kemudian dia beralih ke arah Yati pula. Aku menghulurkan satu lagi bungkusan yang sama diberikan kepada Kak Linz ke arah Syikin. Dia menyambut dan mengucapkan terima kasih. Adegan bersama Kak Linz sekali lagi berulang.
Nampaknya, ibu Syikin, Abang Ngah dan Abang Longnya juga telah pun sampai. Kami sama-sama mengangkat beberapa biji beg dan kotak-kotak Syikin ke keretanya. Kak Linz telahpun berlalu selepas bersalaman dengan ibu Syikin. Setelah semuanya selesai, Syikin juga berlalu. Nampaknya, kini tinggallah aku dan Yati. Yati akan berangkat pulang ke Terengganu pada malam ini, sementara aku pula akan pulang bila Abang Chairul akan tiba. Mungkin esok atau mungkin juga lusa. Sekejap lagi kami akan berangkat ke rumah baruku. Dan malam nanti aku akan menghantar Yati ke Stesyen Komuter Serdang. Dari situ dia akan mengambil komuter ke Hentian Putra sebelum mengambil bas ke destinasinya di Kuala Terengganu.
Suasana di blok sudah senyap mulai semalam. Sudah ramai pelajar yang balik ke kampung halaman. Semester baru akan bermula dua bulan dari sekarang.  Setelah kami bersalaman dengan rakan-rakan yang masih ada di kolej, kami pun beredar ke rumah baruku. Selepas Maghrib pula, aku menghantar Yati ke Stesen Komuter Serdang. Kini tinggallah aku dan dua lagi rakan yang sama-sama menyewa denganku di rumah sewa itu. Anita pula telah pun pulang ke kampung halamannya di Pahang pagi kelmarin lagi.




                     Charina merenung wajah Shahrul dengan tenang. Namun wajah pemuda yang berdiri di hadapannya agak bercelaru. Beberapa kali dia menghela nafas namun tiada sepatah kata pun lagi yang terkeluar. Telah seminggu dia pulang ke bandar ini, baru inilah kali pertama Shahrul datang berjumpanya. Charina hanya berdiam diri menunggu butir kata dari Shahrul. Sebenarnya dia sudah nekad dengan keputusannya yang difikirkannya beberapa hari lepas.
“Kenapa Erin balik tergesa-gesa hari tu..??” soal Sharul akhirnya. Mukanya yang tadi asyik merenung air tasik yang berombak tenang dipalingkan menentang wajah tunangannya. “Puas abang cari Erin, tapi rupanya Erin dah balik sini.” Sambungnya  lagi. “Orang telefon dia matikan!”
Charina menundukkan wajah. Rambutnya yang terurai itu menutupi sebahagian wajahnya. Kakinya menguis-nguis perlahan rerumput. Dia mencari kekuatan untuk meluahkan apa yang difikirkannya beberapa hari lalu. Shahrul masih menunggu jawapan dari mulut Charina.
“Takde, hari tu Abang Long datang lebih awal dari yang dia cakap,” suara Charina. “Malam lepas hal tu, Abang Long sampai. Lepas tu kami pergi tidur rumah Mak Ngah kat Taman Melati. Esok tu kami terus balik.” Terang Charina panjang lebar.
Shahrul mengangguk.
“Abang ingatkan Erin sengaja nak larikan diri dari Abang.”
Erin, Abang minta maaf atas perlakuan Suraya hari tu.”
“Dah la bang.. Erin tak salahkan Suraya.. kalau Erin kat tempat dia pun mungkin Erin akan bertindak macam tu. Atau mungkin lebih teruk dari tu,” suara Charina pula. Tangannya mencarik-carik sehelai daun kering yang hinggap jatuh di bahunya. Pandangan matanya dihalakan jauh ke arah Tasik Perindu, tasik buatan bekas lombong di Taman Tengku Anis, sekitar pinggir Bandar Kota Bharu ini. Ramai remaja bermain bola sepak di kawasan padang berhampiran. Kanak-kanak pula begitu asyik dengan papan gelungsur dan buaian serta jongkang-jongketnya. Segelintir golongan yang berumur pula sedang berjongging sebagai riadah di waktu petang. Shahrul mengambil sebiji batu yang berada di hujung kakinya dan membalingnya jauh ke arah tasik. Riak-riak air tasik yang tenang bergolak seketika.
“Abang, Erin nak cakap sikit, boleh..,” suara Charina memecah kesunyian antara mereka.
Shahrul berpaling menatap wajah Charina. Dia menunggu butir kata dari Charina.
“Apa dia, Sayang….” guraunya mesra.  Matanya yang tajam memikat kelihatan begitu menawan. Charina cuba melarikan diri dari memandang matanya. Takut terpikat!
“…mmm… sebenarnya, dah lama Erin nak cakap pasal benda ni, tapi memandangkan perhubungan kita berdua tak begitu baik, Erin tangguhkan dulu… tapi.. hari ni, Erin perlu katakan juga….,” lambat-lambat Charina bersuara meluahkan kata.
Muka Shahrul berkerut mendengar kata-kata Charina yang agak meragukan itu. Kedua-dua keningnya yang lebat dan terbentuk itu agak rapat membuatkan matanya lebih memikat.
“….sebenarnya, Erin rasa….” Dia terdiam seketika.
“Sebenarnya Erin rasa amat bersalah terhadap Suraya.”
“Dah, cukup Erin…! It’s enough..!! dah banyak kali Abang dengar kata-kata tu dari mulut Erin…”
Erin tahu, Erin yang menyebabkan perhubungan Abang ngan Suraya bergolak.” Charina terus menyambung tanpa mempeduli kata-kata Shahrul. “Erin rasa selama ini Erin mementingkan diri sendiri. Mungkin Erin rasa sebab Erin nak jaga hati orang tua kita, tapi…. Erin tetap rasa Erin yang bersalah kerana tidak berkeras menolak dari awal lagi.” Dia berjalan menghala ke hadapan dan duduk di sebuah kerusi batu yang baru sahaja ditinggalkan oleh sepasang kanak-kanak yang sedari tadi asyik bergurau senda dan saling berkejaran di sekeliling bangku batu tersebut.
“Kalau tidak, mungkin percintaan Abang dengan Suraya tiada masalah.”
Senyap seketika.
“Abang berterus teranglah saja dengan Mama dan Papa Abang… Nyatakan yang hubungan Abang dengan Suraya… Erin rela undur diri….”
Erin…!!!”
“Tentang keluarga Erin usahlah Abang risaukan.. tahulah Erin menguruskannya kelak…” Charina  mencuri pandang ke arah wajah Shahrul yang kelihatan agak tegang. Matanya luas memandang tepat wajah Charina seolah tidak percaya dengan kata-kata tunangnya itu.
Shahrul mengeluh berat. Tangannya meraut wajah berkali-kali. Dia bangun dan berjalan ke hadapan. Apabila menghampiri tebing tasik, dia berhenti dan melontarkan sebiji batu yang berada di genggamannya sedari tadi. Air tasik sekali lagi berolak dibuai olakan batu.
Erin janganlah salahkan diri Erin… ini semua sebenarnya salah Abang. Abang yang tidak berterus terang dari awal. Abang harus menanggung kesalahan Abang ini. Abang akui, Abang ego dan kini Abang terperangkap dengan ego Abang sendiri.” Ujarnya lirih, namun matanya dihalakan ke Tasik Perindu yang damai itu.
“Hmm, baguslah tuu.. kita sama-sama bersalah…,” ujar Charina pula sinis.
Shahrul berpaling ke belakang mendengar suara Charina yang agak kuat dan sinis itu, seketika, kemudian dia kembali merenung air tasik yang beralun lembut di hadapannya itu.
“Oklah Abang. Itu je yang Erin nak cakapkan… Abang ceritalah perihal sebenarnya pada keluarga Abang… Erin ada hal sikit ni, Erin pergi dulu…. Permisi!” sepantas  itu dia memohon diri.
Tiba-tiba dia berasa tidak sabar untuk keluar dari kemelut kasih yang tidak berkesudahan itu. Dia berasa amat letih dengan semua sandiwara yang melibatkan dirinya tanpa dia ingini. Dia terus melangkah meninggalkan Shahrul sendirian dan berjalan pantas menuju ke kereta comelnya yang diparkir di kawasan parkir kereta bahagian hadapan Tasik Perindu itu.
Shahrul terperanjat dengan tingkah Charina yang tiba-tiba berubah itu. Jika tadi dia agak tenang, namun agak emosi kemudiannya. Dia berlari mengejar Charina yang sudah berjalan pantas merentas kawasan permainan kanak-kanak itu.
Erin…!!!” Laungan Shahrul dari arah belakang semakin hamper.
Charina semakin mempercepatkan langkahnya. Namun laungan Shahrul semakin mampir. Akhirnya bahunya terasa di sentuh dan ditarik ke arah belakang. Langkahnya terhenti tiba-tiba.
Erin, kenapa dengan Erin ni… kenapa tiba-tiba sahaja Erin pergi…?” aju Shahrul sambil menghela nafas panjang dan tercungap. “Lagipun, kita tengah berbincang. Erin, how could you just go like that….”
“Tiada  apa lagi yang nak kita bincangkan. Erin dah ambik keputusan.. kita putus cara baik sajalah Abang….” Wajahnya mempamerkan raut selamba. Hatinya cuba dikeraskan.
“Dan Abang bolehlah menyambung kembali kasih yang terjalin antara Abang dan Suraya seperti biasa. Anggaplah kita tak pernah ada apa-apa selama ini!” dia mula berpaling mahu meneruskan langkahnya.
Namun, tangan sasa Shahrul masih memegang erat bahunya membataskan pergerakannya. Shahrul merenung tajam wajah ayu Charina seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Selama ini, dia hanya nampak perwatakan yang agak baik, manis, beralah dan halus budi bahasa pada Charina. Tapi hari ini dia sudah tahu satu lagi perangai Charina. Meskipun bersopan santun dan berbudi bahasa, namun dia agak tegas dan keras. Apatah lagi jika dirinya diperkotak-katikkan.
Erin, Abang belum habis cakap… ada hal lain yang Abang  nak bincangkan tadi.” Suara Shahrul pula kemudiannya, serius.
“Takpe, apa saja keputusan Abang, Erin setuju, cuma yang pentingnya Abang berterus terang sajalah dengan family Abang secara baik.” Pantas Charina menjawab. Shahrul terpaku melihatkan reaksi negatif Charina.
Charina mula bergerak. Dia menjatuhkan tangan Shahrul yang berada di bahunya dan mula berpaling.
Erin…” nada suara Shahrul sukar dimengertikan. Mungkin terpaku dengan reaksi Charina yang tidak diduga itu. Dia baru saja mempercepatkan langkah ke arah Charina yang semakin menghampiri keretanya yang terletak bersebelahan kereta Satria GTinya sendiri. Namun tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nyaring.
Erin, tungguu…” laungnya ke arah Charina yang sudah pun membolosi badannya ke dalam kereta. Charina tidak menghiraukan panggilannya. Dia menutup pintu keretanya cepat dan mula menghidupkan enjin keretanya. Matanya memandang perlakuan Shahrul yang agak kalut itu. Dari dalam keretanya dia melihat Shahrul kelam kabut menyeluk poket seluarnya dan bercakap dengan telefon bimbitnya sambil tangannya masih melambai-lambai memanggil dirinya, mungkin menyuruh dirinya menunggu Shahrul.
Charina menekan pedal cluth dan memasukkan gear undur dan mula mengundurkan bontot keretanya tetapi berhenti mengejut seketika apabila bunyi hon yang kuat dari sebelah kanan di belakang keretanya. Dia terdiam seketika untuk menghilangkan rasa terkejutnya. Kemudian dia kembali memandang ke arah Shahrul yang masih sibuk melayan perbualan di telefon bimbitnya.
Tiba-tiba terdetik perasaan kesian terhadap Shahrul. Tidak patut dia berkelakuan kasar seperti itu terhadap Shahrul. Dia sedar perangainya, dalam lembut ada kasar, dan dalam keras ada juga timbang rasanya. Sebentar kemudian dia keluar tanpa mematikan enjin kereta dan melangkah ke arah Shahrul yang baru sahaja habis bercakap di telefon.
“Abang, Erin minta maaf….” Suara Charina tulus. Shahrul mengangkat kepalanya. Terkejut dengan sapaan dari Charina itu. Dia menjangkakan Charina sudah pun berlalu sewaktu dia asyik menjawab panggilan sebuah syarikat dari Kuala Lumpur yang memanggilnya untuk satu sesi temuduga sebentar tadi.
Masing-masing terdiam dan saling merenung tanpa kata. Namun, sekali lagi deringan telefon yang terputus tadi mengganggu internal interaction antara mereka. Shahrul kelihatan agak serba salah untuk menyambut panggilan itu.
Erin minta maaf atas perlakuan Erin tadi.” Ujar Charina tanpa menunggu panjang. “Tapi Erin terpaksa…” putus.
Erin pergi dulu….” sambungnya lagi dan terus berlalu ke keretanya lima langkah di hadapan.
Shahrul yang masih serba salah dengan situasi itu agak tergamam. Namun akhirnya dia membiarkan tingkah Charina itu dan menyambut panggilan daripada Milia Corporation yang beribu pejabat di Bandar Sunway, Petaling Jaya itu.
Biarlah!
Lagipun esok masih ada untuk mereka berbicara. Putus Shahrul akhirnya.



Comments

Popular posts from this blog

Novel : Kemelut Kasih - Part 33

Edisi Jalan-Jalan : Ber-CH- lagik...

Novel : Kemelut Kasih - Part 27