Tuesday, September 30, 2014

Novel : Kemelut Kasih - Part 21





Bab 21

  
               Masa perpisahan akhirnya tiba juga. Barang-barang semuanya telah dikemaskan. Bilik sudahpun kosong. Kunci-kunci juga baru dihantar ke Pejabat Am Kolej. Nampak gayanya, dia dan Yati juga akan berubah blok. Sementara Kak Linz dan Syikin akan keluar terus dari bumi UPM ini. Dan status pelajar mereka telah ditamatkan serta merta. Maklumlah, mereka sudah menamatkan pelajaran mereka… he.. he..
Yati telah ditempatkan di blok  Kijang sementara dia pula ke blok Rusa. Tapi, Charina pula memilih untuk menetap diluar kampus bersama-sama teman sekursusnya. Dia memilih untuk  menjadi PLK, Pelajar Luar Kampus. Mereka telah bersama-sama memilih untuk menyewa di sebuah rumah di area Serdang ini. Dia ingin merasa kehidupan di rumah sewa pula. Kehidupan di kolej yang padat dengan aktiviti sudah dirasa. Kini dia ingin merasa hidup bujang bersama rakan-rakan perempuan pula. Yalah, sementara belum menjadi hak orang…. 
Dua hari lepas dia telah memindahkan kesemua barang-barangnya ke rumah  baru mereka yang terletak di antara bandar Serdang dan Seri Kembangan ini. Anita juga turut menyewa bersamanya.
“Rin, Kak Linz balik dulu…,” ujar Kak Linz memandangkan ibu, ayah dan abangnya telahpun beredar ke kereta mereka setelah bersalam dengan mereka tadi.
Aku angguk.
“Jangan lupa Erin tau…,” aku menyalami tangannya. Aku mengeluarkan sebuah bungkusan dari beg di bahuku lalu diberikan kepadanya.
“Nah… hadiah sempena perpisahan kita… Contact-contact lah selalu, yea…”
“Eh, apa ni…?” soal Kak Linz pula agak terkejut. Dia membelek-belek bungusan itu. “Terima kasih, Rin…” senyum. Kami bersalaman dan saling melagakan pipi. Kemudian dia beralih ke arah Yati pula. Aku menghulurkan satu lagi bungkusan yang sama diberikan kepada Kak Linz ke arah Syikin. Dia menyambut dan mengucapkan terima kasih. Adegan bersama Kak Linz sekali lagi berulang.
Nampaknya, ibu Syikin, Abang Ngah dan Abang Longnya juga telah pun sampai. Kami sama-sama mengangkat beberapa biji beg dan kotak-kotak Syikin ke keretanya. Kak Linz telahpun berlalu selepas bersalaman dengan ibu Syikin. Setelah semuanya selesai, Syikin juga berlalu. Nampaknya, kini tinggallah aku dan Yati. Yati akan berangkat pulang ke Terengganu pada malam ini, sementara aku pula akan pulang bila Abang Chairul akan tiba. Mungkin esok atau mungkin juga lusa. Sekejap lagi kami akan berangkat ke rumah baruku. Dan malam nanti aku akan menghantar Yati ke Stesyen Komuter Serdang. Dari situ dia akan mengambil komuter ke Hentian Putra sebelum mengambil bas ke destinasinya di Kuala Terengganu.
Suasana di blok sudah senyap mulai semalam. Sudah ramai pelajar yang balik ke kampung halaman. Semester baru akan bermula dua bulan dari sekarang.  Setelah kami bersalaman dengan rakan-rakan yang masih ada di kolej, kami pun beredar ke rumah baruku. Selepas Maghrib pula, aku menghantar Yati ke Stesen Komuter Serdang. Kini tinggallah aku dan dua lagi rakan yang sama-sama menyewa denganku di rumah sewa itu. Anita pula telah pun pulang ke kampung halamannya di Pahang pagi kelmarin lagi.




                     Charina merenung wajah Shahrul dengan tenang. Namun wajah pemuda yang berdiri di hadapannya agak bercelaru. Beberapa kali dia menghela nafas namun tiada sepatah kata pun lagi yang terkeluar. Telah seminggu dia pulang ke bandar ini, baru inilah kali pertama Shahrul datang berjumpanya. Charina hanya berdiam diri menunggu butir kata dari Shahrul. Sebenarnya dia sudah nekad dengan keputusannya yang difikirkannya beberapa hari lepas.
“Kenapa Erin balik tergesa-gesa hari tu..??” soal Sharul akhirnya. Mukanya yang tadi asyik merenung air tasik yang berombak tenang dipalingkan menentang wajah tunangannya. “Puas abang cari Erin, tapi rupanya Erin dah balik sini.” Sambungnya  lagi. “Orang telefon dia matikan!”
Charina menundukkan wajah. Rambutnya yang terurai itu menutupi sebahagian wajahnya. Kakinya menguis-nguis perlahan rerumput. Dia mencari kekuatan untuk meluahkan apa yang difikirkannya beberapa hari lalu. Shahrul masih menunggu jawapan dari mulut Charina.
“Takde, hari tu Abang Long datang lebih awal dari yang dia cakap,” suara Charina. “Malam lepas hal tu, Abang Long sampai. Lepas tu kami pergi tidur rumah Mak Ngah kat Taman Melati. Esok tu kami terus balik.” Terang Charina panjang lebar.
Shahrul mengangguk.
“Abang ingatkan Erin sengaja nak larikan diri dari Abang.”
“Erin, Abang minta maaf atas perlakuan Suraya hari tu.”
“Dah la bang.. Erin tak salahkan Suraya.. kalau Erin kat tempat dia pun mungkin Erin akan bertindak macam tu. Atau mungkin lebih teruk dari tu,” suara Charina pula. Tangannya mencarik-carik sehelai daun kering yang hinggap jatuh di bahunya. Pandangan matanya dihalakan jauh ke arah Tasik Perindu, tasik buatan bekas lombong di Taman Tengku Anis, sekitar pinggir Bandar Kota Bharu ini. Ramai remaja bermain bola sepak di kawasan padang berhampiran. Kanak-kanak pula begitu asyik dengan papan gelungsur dan buaian serta jongkang-jongketnya. Segelintir golongan yang berumur pula sedang berjongging sebagai riadah di waktu petang. Shahrul mengambil sebiji batu yang berada di hujung kakinya dan membalingnya jauh ke arah tasik. Riak-riak air tasik yang tenang bergolak seketika.
“Abang, Erin nak cakap sikit, boleh..,” suara Charina memecah kesunyian antara mereka.
Shahrul berpaling menatap wajah Charina. Dia menunggu butir kata dari Charina.
“Apa dia, Sayang….” guraunya mesra.  Matanya yang tajam memikat kelihatan begitu menawan. Charina cuba melarikan diri dari memandang matanya. Takut terpikat!
“…mmm… sebenarnya, dah lama Erin nak cakap pasal benda ni, tapi memandangkan perhubungan kita berdua tak begitu baik, Erin tangguhkan dulu… tapi.. hari ni, Erin perlu katakan juga….,” lambat-lambat Charina bersuara meluahkan kata.
Muka Shahrul berkerut mendengar kata-kata Charina yang agak meragukan itu. Kedua-dua keningnya yang lebat dan terbentuk itu agak rapat membuatkan matanya lebih memikat.
“….sebenarnya, Erin rasa….” Dia terdiam seketika.
“Sebenarnya Erin rasa amat bersalah terhadap Suraya.”
“Dah, cukup Erin…! It’s enough..!! dah banyak kali Abang dengar kata-kata tu dari mulut Erin…”
“Erin tahu, Erin yang menyebabkan perhubungan Abang ngan Suraya bergolak.” Charina terus menyambung tanpa mempeduli kata-kata Shahrul. “Erin rasa selama ini Erin mementingkan diri sendiri. Mungkin Erin rasa sebab Erin nak jaga hati orang tua kita, tapi…. Erin tetap rasa Erin yang bersalah kerana tidak berkeras menolak dari awal lagi.” Dia berjalan menghala ke hadapan dan duduk di sebuah kerusi batu yang baru sahaja ditinggalkan oleh sepasang kanak-kanak yang sedari tadi asyik bergurau senda dan saling berkejaran di sekeliling bangku batu tersebut.
“Kalau tidak, mungkin percintaan Abang dengan Suraya tiada masalah.”
Senyap seketika.
“Abang berterus teranglah saja dengan Mama dan Papa Abang… Nyatakan yang hubungan Abang dengan Suraya… Erin rela undur diri….”
“Erin…!!!”
“Tentang keluarga Erin usahlah Abang risaukan.. tahulah Erin menguruskannya kelak…” Charina  mencuri pandang ke arah wajah Shahrul yang kelihatan agak tegang. Matanya luas memandang tepat wajah Charina seolah tidak percaya dengan kata-kata tunangnya itu.
Shahrul mengeluh berat. Tangannya meraut wajah berkali-kali. Dia bangun dan berjalan ke hadapan. Apabila menghampiri tebing tasik, dia berhenti dan melontarkan sebiji batu yang berada di genggamannya sedari tadi. Air tasik sekali lagi berolak dibuai olakan batu.
“Erin janganlah salahkan diri Erin… ini semua sebenarnya salah Abang. Abang yang tidak berterus terang dari awal. Abang harus menanggung kesalahan Abang ini. Abang akui, Abang ego dan kini Abang terperangkap dengan ego Abang sendiri.” Ujarnya lirih, namun matanya dihalakan ke Tasik Perindu yang damai itu.
“Hmm, baguslah tuu.. kita sama-sama bersalah…,” ujar Charina pula sinis.
Shahrul berpaling ke belakang mendengar suara Charina yang agak kuat dan sinis itu, seketika, kemudian dia kembali merenung air tasik yang beralun lembut di hadapannya itu.
“Oklah Abang. Itu je yang Erin nak cakapkan… Abang ceritalah perihal sebenarnya pada keluarga Abang… Erin ada hal sikit ni, Erin pergi dulu…. Permisi!” sepantas  itu dia memohon diri.
Tiba-tiba dia berasa tidak sabar untuk keluar dari kemelut kasih yang tidak berkesudahan itu. Dia berasa amat letih dengan semua sandiwara yang melibatkan dirinya tanpa dia ingini. Dia terus melangkah meninggalkan Shahrul sendirian dan berjalan pantas menuju ke kereta comelnya yang diparkir di kawasan parkir kereta bahagian hadapan Tasik Perindu itu.
Shahrul terperanjat dengan tingkah Charina yang tiba-tiba berubah itu. Jika tadi dia agak tenang, namun agak emosi kemudiannya. Dia berlari mengejar Charina yang sudah berjalan pantas merentas kawasan permainan kanak-kanak itu.
“Erin…!!!” Laungan Shahrul dari arah belakang semakin hamper.
Charina semakin mempercepatkan langkahnya. Namun laungan Shahrul semakin mampir. Akhirnya bahunya terasa di sentuh dan ditarik ke arah belakang. Langkahnya terhenti tiba-tiba.
“Erin, kenapa dengan Erin ni… kenapa tiba-tiba sahaja Erin pergi…?” aju Shahrul sambil menghela nafas panjang dan tercungap. “Lagipun, kita tengah berbincang. Erin, how could you just go like that….”
“Tiada  apa lagi yang nak kita bincangkan. Erin dah ambik keputusan.. kita putus cara baik sajalah Abang….” Wajahnya mempamerkan raut selamba. Hatinya cuba dikeraskan.
“Dan Abang bolehlah menyambung kembali kasih yang terjalin antara Abang dan Suraya seperti biasa. Anggaplah kita tak pernah ada apa-apa selama ini!” dia mula berpaling mahu meneruskan langkahnya.
Namun, tangan sasa Shahrul masih memegang erat bahunya membataskan pergerakannya. Shahrul merenung tajam wajah ayu Charina seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Selama ini, dia hanya nampak perwatakan yang agak baik, manis, beralah dan halus budi bahasa pada Charina. Tapi hari ini dia sudah tahu satu lagi perangai Charina. Meskipun bersopan santun dan berbudi bahasa, namun dia agak tegas dan keras. Apatah lagi jika dirinya diperkotak-katikkan.
“Erin, Abang belum habis cakap… ada hal lain yang Abang  nak bincangkan tadi.” Suara Shahrul pula kemudiannya, serius.
“Takpe, apa saja keputusan Abang, Erin setuju, cuma yang pentingnya Abang berterus terang sajalah dengan family Abang secara baik.” Pantas Charina menjawab. Shahrul terpaku melihatkan reaksi negatif Charina.
Charina mula bergerak. Dia menjatuhkan tangan Shahrul yang berada di bahunya dan mula berpaling.
“Erin…” nada suara Shahrul sukar dimengertikan. Mungkin terpaku dengan reaksi Charina yang tidak diduga itu. Dia baru saja mempercepatkan langkah ke arah Charina yang semakin menghampiri keretanya yang terletak bersebelahan kereta Satria GTinya sendiri. Namun tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nyaring.
“Erin, tungguu…” laungnya ke arah Charina yang sudah pun membolosi badannya ke dalam kereta. Charina tidak menghiraukan panggilannya. Dia menutup pintu keretanya cepat dan mula menghidupkan enjin keretanya. Matanya memandang perlakuan Shahrul yang agak kalut itu. Dari dalam keretanya dia melihat Shahrul kelam kabut menyeluk poket seluarnya dan bercakap dengan telefon bimbitnya sambil tangannya masih melambai-lambai memanggil dirinya, mungkin menyuruh dirinya menunggu Shahrul.
Charina menekan pedal cluth dan memasukkan gear undur dan mula mengundurkan bontot keretanya tetapi berhenti mengejut seketika apabila bunyi hon yang kuat dari sebelah kanan di belakang keretanya. Dia terdiam seketika untuk menghilangkan rasa terkejutnya. Kemudian dia kembali memandang ke arah Shahrul yang masih sibuk melayan perbualan di telefon bimbitnya.
Tiba-tiba terdetik perasaan kesian terhadap Shahrul. Tidak patut dia berkelakuan kasar seperti itu terhadap Shahrul. Dia sedar perangainya, dalam lembut ada kasar, dan dalam keras ada juga timbang rasanya. Sebentar kemudian dia keluar tanpa mematikan enjin kereta dan melangkah ke arah Shahrul yang baru sahaja habis bercakap di telefon.
“Abang, Erin minta maaf….” Suara Charina tulus. Shahrul mengangkat kepalanya. Terkejut dengan sapaan dari Charina itu. Dia menjangkakan Charina sudah pun berlalu sewaktu dia asyik menjawab panggilan sebuah syarikat dari Kuala Lumpur yang memanggilnya untuk satu sesi temuduga sebentar tadi.
Masing-masing terdiam dan saling merenung tanpa kata. Namun, sekali lagi deringan telefon yang terputus tadi mengganggu internal interaction antara mereka. Shahrul kelihatan agak serba salah untuk menyambut panggilan itu.
“Erin minta maaf atas perlakuan Erin tadi.” Ujar Charina tanpa menunggu panjang. “Tapi Erin terpaksa…” putus.
“Erin pergi dulu….” sambungnya lagi dan terus berlalu ke keretanya lima langkah di hadapan.
Shahrul yang masih serba salah dengan situasi itu agak tergamam. Namun akhirnya dia membiarkan tingkah Charina itu dan menyambut panggilan daripada Milia Corporation yang beribu pejabat di Bandar Sunway, Petaling Jaya itu.
Biarlah!
Lagipun esok masih ada untuk mereka berbicara. Putus Shahrul akhirnya.



Monday, September 29, 2014

Novel : Kemelut Kasih - Part 20










Bab 20

“S
ue… mari makan, nak…,” suara Mak Limah dari luar pintu anak Dato’ Zahari itu. Kali ini sudah masuk lapan kali dia mengetuk pintu bilik Suraya. Namun tiada tindak balas. Petang tadi, Suraya balik dengan mata merah dan muka yang masam mencuka. Kakinya yang berskirt pendek itu dihentak kuat-kuat seolah meluah perasaan tidak puas hati.
Sebetulnya, dari ngauman enjin keretanya sewaktu memasuki kawasan banglo ini pun  Mak Limah sudah mengetahui ada yang tak kena dengan Suraya. Dan dari hempasan pintu keretanya juga dia sudah mengetahui mood Suraya yang tidak baik itu. Setibanya dia di banglo mewah tujuh bilik ini tadi, terus dia meluru ke biliknya dan sampai sekarang masih belum keluar.
            “Suraya… bukaklah pintu ni… mari kita makan, Sue…,” pujuk Mak Limah lagi belum putus asa. Sebetulnya, dia sudah memahami karenah anak manja Dato’ Zahari ini. Kuat merajuk, namun mudah dipujuk!
            “Sue…,” seru Mak Limah lagi.
            Senyap.
            “Sue… Mak Limah masak Ikan stim limau kegemaran Sue tu…  Ayam Percik…. Sambal Tumis Udang…  ”
Senyap lagi.
“Sue… ,” panggil Mak Limah untuk kali terakhir. Dia menunggu beberapa ketika sebelum berlalu.
            Baru dua langkah Mak Limah beredar, terbunyi kiutan pintu bilik dibuka di belakangnya. Dia berkira-kira untuk kembali ke ruang makan sebetulnya, untuk mengemas lauk pauk yang masih belum terjamah, memandangkan Dato’ Zahari  dan Datin Farina juga  masih belum menjengukkan muka ke mahligai ini. Sepasang suami isteri itu sering sibuk dengan urusan masing-masing. Ini mungkin menyebabkan Suraya berasa terasing dari ibu bapanya.
            Seingat Mak Limah, dia mula menjaga Suraya semenjak dia berusia dua bulan lagi. Sebelum itu, abang-abang Suraya, Shamsul dan Syairul dijaga oleh pembantu rumah sebelum itu, Kak Kiah yang kemudiannya kembali ke kampung kerana  menjaga ibunya yang sakit. Setelah ibunya meninggal, Kak Kiah berhenti terus dan menetap di kampungnya di Batu Pahat. Ketiadaan orang gaji menyebabkan keluarga Dato’ Zahari mencari pembantu rumah yang baru.
Kebetulan, mereka terjumpa Mak Limah yang berada di sebuah kedai makan sewaktu Dato’ Zahari  berhenti membeli air. Dan secara kebetulan juga, Mak Limah yang baru sahaja kematian suami dan tidak mendapat sebarang cahaya mata sudi menjadi pembantu baru di rumah mereka. Tiga hari selepas itu, Mak Limah sudah memulakan tugasnya di rumah banglo yang tersergam indah di atas Bukit Damansara itu. Kini, setelah hampir 22 tahun berlalu, segalanya masih jelas di ingatannya.
            Wajah muram Suraya tersua di muka pintu. Rambutnya yang panjang melepasi bahu agak kusut. Bajunya masih belum bertukar. Suraya menggosok matanya beberapa kali. Baru bangun dari tidur rupanya dia.
            “Apa yang Mak Limah bisingkan nie… orang nak tidur pun tak senang… kacaulah….,” suara Suraya merungut sambil berlalu ke katilnya selepas menekan suis lampu. Pintu bilik dibiarkan terbuka. Mak Limah teragak-agak sebentar, sama ada masuk ke dalam ataupun kembali meneruskan niat asalnya tadi. Dua saat kemudian dia melangkah ke dalam menuruti jejak langkah Suraya dan duduk di kerusi sofa ala Cleopatra yang diletak elok di penjuru katil. Suraya membaringkan belakang badan sambil menaikkan kedua kakinya ke atas. Skirtnya yang pendek itu mendedahkan lagi kakinya yang putih melepak. Mukanya masih muram, dan sengaja dimasamkan. Matanya agak bengkak dengan sisa air mata yang masih jelas di bibir mata.
            Mak Limah bangun dan  membelek pasu berisi bunga mawar hidup yang dihias di atas meja sudut di sisi almari buku yang terletak di antara almari pakaian lima pintu yang mencecah lelangit itu. Suasana agak romantik kerana Suraya hanya menghidupkan lampu chandeliar sewaktu membuka pintu tadi. Sebelum itu, dia bergelap di dalam bilik. Mak Limah membetulkan sedikit jambangan bunga yang masih segar itu. Ia ditukar dua hari sekali. Bunga-bunga itu dipetik dari taman yang dijaga oleh Pak Rashid di halaman sana. Dia kembali mengatur langkah ke sisi Suraya dan duduk di tepi birai katil bercadar indah itu.
            Suraya menongkat kedua tangannya ke mukanya sambil kedua-dua kakinya dihayunkan secara berselang-seli. Kepalanya dianggukkan mengikut rentak dari hi fi yang dibuka perlahan.
            “Jom Sue… makan…,” suara Mak Limah lagi. Dia mengusap-usap lembut rambut Suraya yang mengurai.
            “Banyak Mak Limah masak lauk tadi sebab Papa dan Mama kata nak balik makan awal tengah hari tadi. Tapi, sampai sekarang pun tak nampak muka lagi….,” tambah Mak Limah.
            “Marilah…. Penat Mak Limah masak…”
            Suraya mengangkat mukanya. Mulutnya dicebekkan. Kepalanya digelengkan perlahan.
            “Sue takde selera la Mak Limah…,” suaranya manja. Dia bingkas dari  baringan dan duduk bersila mengadap Mak Limah. Mulutnya dimuncungkan. Mak Limah masih membelai-belai lembut rambut anak emas Dato’ Zahari itu.
            “Kenapa dengan Sue ni… dari tadi asyik berkurung…. Cuba cerita dengan Mak Limah apa masalahnya…,” pujuk Mak Limah cuba mengambil hati anak dara itu.
            Suraya senyap dan kepala digelengkan.
            “Tengok tu… mata dah bengkak dah… sikit lagi meletup la tu….,” tambah Mak Limah lagi berseloroh. Sebenarnya, Suraya sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Tambahan pula dia juga tidak mempunyai sebarang cahaya mata. Hanya pada anak-anak Dato’ Zahari sahaja tempat dia bermanja, apatah lagi Suraya yang telah diasuh dan dijaga dari usia dua bulan lagi.
            Senyap.
            “Sekejap Mak Limah nak tilik. Emmm, nampak gayanya.. ini masalah orang muda ni… masalah cinta…,” suara Mak Limah lagi berseloroh sambil menduga sebenarnya.
            Suraya tetap membisu. Kepalanya ditundukkan ke bawah. Rambutnya yang panjang itu menutupi wajahnya.
            “Kenapa tak nak cerita dengan Mak Limah… cuba cerita sikit… bolehlah Mak Limah bantu sikit-sikit,” pujuk Mak Limah lagi tidak putus asa.
            Suraya menghayunkan badannya ke kiri ke kanan, namun masih belum bersuara. Setelah beberapa lama berlalu, Mak Limah mula mengangkat punggungnya untuk berlalu.
            “Mak Limah….,” suara Suraya akhirnya. Ada sendu di situ. Dia mengangkat kepalanya. Mak Limah menoleh. Air mata berlinang di pipi Suraya.
            “Mak Limah….,” Suraya mula menangis. Air mata semakin lebat. Mak Limah kembali ke sisi Suraya. Dia memeluk badan lampai anak gadis itu dan mengusap belakang badannya perlahan.
            “Mak Limah….,” bergetar suara Suraya. Badannya terhenggut-henggut menahan tangisan. Belakang badan Mak Limah panas dihujani air mata yang sedang lebat itu. Dia sabar menunggu kata dari Suraya. Biarlah dia menangis sepuas hati dahulu. Belum pernah dia menangis sebegini teruk.
            Mak Limah sudah lama mengenali perangai anak gadis seorang ini. Suraya memang manja orangnya, tetapi juga degil. Dilahirkan sebagai anak bongsu  Dato’ Zahari, dia memang suka mengikut kata hatinya. Mungkin juga kerana sudah biasa dimanja dari kecil lagi. Apa yang diminta pasti akan dipenuhi. Namun dia mudah dipujuk.
            “Shahrul….,” terpacul nama anak muda yang biasa disebut oleh Suraya kepadanya sejak dari dulu lagi. Kemudian dia berhenti sambil menarik esak. 
            “Kenapa dengan Shahrul… kamu bergaduh dengan dia lagi..??” soal Mak Limah pantas ingin tahu. Dia telah lama mengetahui akan hubungan percintaan Suraya dengan anak bekas Penolong Pesuruhjaya Polis Negeri Johor itu. Seingatnya, mereka mula bercinta semenjak dari Suraya menduduki program matrikulasi lagi. Jadi secara kasarnya, sudah hampir lima tahun mereka berkawan.
            “Shahrul dah bertunang, Mak Limah…. Shahrul dah bertunang…..,” ujar Suraya dalam tangisan. Akhirnya tahu juga Mak Limah perkara duduk sebenar. Meskipun agak terkejut, namun Mak Limah menerimanya dalam tenang.
            Seingat Mak Limah, budak Shahrul yang berkawan dengan Suraya selama ini memang baik orangnya. Bertanggungjawab, jujur, handsome pulak tu…. Malah, orang kata boleh dibuat calon suami yang baiklah. Dan dia amat berkenan dengan perangai Shahrul yang pandai menghormati orang tua. Tidak seperti sesetengah anak muda zaman sekarang yang sudah lupa dengan adap sopan dan tata susila. Apatah lagi di kalangan orang Melayu yang kaya dengan adat resam. Semuanya gara-gara pengaruh budaya barat yang semakin meluas dewasa ini. Dengan muziknya yang membingitkan, dengan bajunya yang ntah hapa-hapa. Terdedah sana… terdedah sini…. Hancur….!
            Mak Limah tahu, anak gadis Dato’ Zahari ini juga agak lincah dan bebas akibat terpengaruh dengan gaya hidup moden kerana sudah terbiasa dengan corak kehidupan elit di bandar ini. Pakaiannya dari jenama yang mahal belaka dengan fesyen yang adakalanya menjolok mata. Sebab itulah dia berharap Shahrul dapat mengubah sedikit demi sedikit corak kehidupan Suraya dan juga cara pemakaian yang semakin sakit mata memandang bagi pihak diri Mak Limah.
Puas sudah dia menyuruh Suraya memakai pakaian yang lebih sopan seperti kebaya ataupun baju kurung.  Paling tidak pun seluar panjang yang lebih longgar. Ini tidak, kalau tidak skirt pendeknya, tentu dengan seluar mantap yang ketat di peha dan baju yang singkat serta ketat. Terutamanya apabila keluar dengan bekas rakan sekolahnya. Jika di UPM, pakaiannya masih dikira ok biarpun adakalanya agak seksi. Hmmh.. Mak Limah mengeluh sendirian. Namun, anak gadis ini mudah dibentuk, sama banyak dengan mudah terpengaruh. Fleksible, orang sekarang kata…..
            Mak Limah angguk kepalanya perlahan dan menepuk-nepuk bahu Suraya.
            “Bawak bersabar…. Cuba cerita perkara sebenar…, Mak Limah nak dengar….,” suara Mak Limah tenang. Seolah ibu yang menasihati anaknya. Malah, Mak Limah lebih memahami Suraya berbanding Datin  Farina yang senantiasa sibuk berpersatuan itu.
            Sambil tersedu dan sesekali menarik esak, Suraya menceritakan kisah sebenar dari awal sampailah ke akhirnya seperti mana  yang diceritakan oleh Shahrul petang tadi. Tentang bagaimana dia dipaksa bertunang oleh keluarganya. Dan rupa-rupanya, baru dia tahu bahawa keluarga Shahrul masih belum mengetahui akan perhubungan mereka selama ini.
Berpuluh kali Shahrul memohon maaf siang tadi. Namun tidak diendahkannya. Setelah habis mendengar penerangan Shahrul itu, dia terus menuju ke keretanya dan meninggalkan Shahrul sendirian di situ. Puas sudah Shahrul melaung memanggil namanya, tetapi tidak diendahkan. Hatinya sakit dan kecewa mengenangkan sikap sambil lewa Shahrul dengan perhubungan mereka. Baginya, Shahrul tidak serius dengan perhubungan mereka selama ini.
Tadi, puas sudah Shahrul menerangkan bahawa dia belum bersedia memberitahu ibu bapanya, cuma sekadar hanya memberi hint sahaja yang dia sedang berkawan dengan seseorang dan belum memberitahu secara jelas kepada keluarganya bahawa dia sedang berkawan rapat dengan Suraya. Madly in love, sebetulnya! Dia berkira-kira untuk membina kerjaya yang lebih kukuh terlebih dahulu, dan barulah dia akan memberitahu yang dia sudah ada pilihan hati.
Namun, ibu bapanya lebih pantas mencarikan jodoh untuknya. Anak rakan baik ayahnya yang telah lama berpisah dijadikan calon. Dan kebetulan, gadis itu satu universiti dengannya, jua satu fakulti. Satu kebetulan yang tidak disangka pula, mereka pernah berlakon dalam satu teater yang sama, dan dipasangkan sebagai sepasang kekasih pula. Apakah ini satu kebetulan ataupun ianya sudah tersurat!
Bagi Shahrul pada mulanya, dia memang membantah keras. Kononnya pertunangan itu bertujuan untuk merapatkan talian persahabatan antara  kedua keluarga mereka. Pergi mampuslah talian persahabatan itu! Kenapa perlu dia yang dijadikan  alatnya!!  Huh! Saat itu, dia seolah tidak tahu berbuat apa. Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Untuk menolak, dia tidak mampu. Pada awalnya, dia ada membantah tidak mahu ditunangkan, namun bapanya tetap berkeras dengan pilihannya. Kata itu bererti kota. Jadi dia terpaksa akur!
Mak Limah mengangguk kepala sehabis mendengar penerangan yang panjang lebar dari Suraya.  Berkali-kali dia mengangguk kepalanya. Sambil tangannya terus mengusap-usap lembut rambut panjang yang baru diwarnakan keperangan itu. Suraya masih menyapu air matanya yang masih bersisa. Mata bundar itu tidak bersinar indah seperti biasa.
“Sabar, anggaplah itu dugaan dari Allah…. Ada jodoh kamu kelak, bersatu jugak kamu nanti…, janganlah bimbang….,” ucap Mak Limah menasihati dan menyedapkan hati Suraya. Suraya membatu. Rasa sakit hatinya pada Shahrul dan tunangannya, Charina masih membara.
“Nah… sekarang, mari kita pergi makan… usah difikirkan soal ini lagi…,” ujar Mak Limah sambil menarik tangan Suraya. Lambat-lambat Suraya bangun dan mengikut langkah Mak Limah. Mereka turun ke bawah menuju ke ruang makan yang terletak bersebelahan dapur.
Sedang enak mereka menikmati makan malam itu, Datin Farina balik. Dia memandu BMW 325i terkini dan tidak lama kemudian diikuti pula dengan Dato’ Zahari dengan Mercedez Benz model terbarunya. Mereka sama-sama menyaingi Suraya dan Mak Limah yang sedang  enak menikmati hidangan.
“Eh, kenapa dengan anak Papa ni…  mata bengkak semacam jer… ,” suara Dato’ Zahari sambil menjeling melihat muka Suraya yang muram itu. Sejak dia tiba di meja makan itu, Suraya asyik menundukkan wajahnya sambil asyik menyuap makanan meskipun lambat-lambat.
“Hmmh… bergaduh dengan Shahrullah tu… apalagi….,” suara Datin Farina pula. Dia menyenduk nasi ke pinggannya. Naluri seorang ibu menyatakannya sebegitu.
“Huh, cinta monyet…!” tambahnya lagi. Tangannya ligat menyenduk kuah ikan percik. Kemudian dia mencapai Daun Ulam Raja dan mencicahnya ke dalam sambal belacan. Dimakan pula bersama nasi yang masih panas.
Sebenarnya dia sudah mempunyai calon untuk dijodohkan dengan Suraya, tetapi Suraya terlalu asyik dengan Shahrul. Memandangkan anak teruna pilihan hati Suraya itu juga datang dari keturunan  baik-baik dan orangnya pun boleh tahan. Sekufu, begitu pendapat Datin Farina. Jadi dia tidak banyak menentang perhubungan mereka. Lagi pula, Shahrul tidaklah terlalu rapat dengan keluarga mereka, dan seingat dirinya pula, hanya tiga kali mereka pernah bersua. Itu pun pada waktu mereka mula-mula mereka berkenalan.
Datin Farina lebih berkenankan Harith, anak Datin Maznah yang baru habis belajar dari UK itu. Kini Harith telah menjadi salah seorang pengurus di salah sebuah syarikat perkapalan milik  ayahnya, Dato’ Mansur. Nampaknya cerahlah harapannya untuk bermenantukan Harith itu. Dalam diam dia senyum.
Dato’ Zahari memandang muka Suraya seimbas lalu dan menyuap nasi ke mulutnya. “Betul ni Sue..?” dia meneguk pula air limau yang diletakkan olek Mak Limah di hadapannya.
Senyap.
“Sue….,” seru Dato’ Zahari lagi.
Suraya mengangkat muka dan menentang muka papanya. Dia mencebekkan mulutnya.  Kepalanya dianggukkan.
“Dia dah bertunang pun…,” tambah Suraya lagi. Kini dia sudah bijak mengawal perasaannya. Namun perit tetap tertanam jauh di lubuk hati. Dia tunduk lagi menyuap nasi ke mulut. Dan kemudian mengangkat muka untuk melihat reaksi papanya. Dato’ Zahari mengangkat kening kanannya tanpa suara. Datin Farina yang turut sama mendengar semakin lebar senyumannya.
“Yang awak senyum-senyum ni kenapa, Farina?” soal Dato’ Zahari melihatkan Datin Farina yang masih leka dalam angannya.
“Takde ape, cuma saya teringatkan si Harith anak Datin Maznah tu… haa… bolehlah saya kenankan dengan Suraya, nampaknya.” Luah Datin Farina berterus terang. Dia menoleh melihat reaksi Suraya. Anak gadis itu cuma diam sambil menghabiskan suapannya yang terakhir.
“Macam mana, bang?” soalnya pada suaminya meminta pendapat.
“Ish, awak ni… budak baru patah hati, dia nak carikan pengganti pulak…. Biarlah dia releks dulu… tenang-tenangkan fikiran…,” balas Dato’ Zahari.
“Inilah masa yang sesuai, bang… tak sempat dia nak patah hati, kita dah cari pengganti… bukan gitu Mak Limah..?” soalnya meminta pendapat Mak Limah.
“Apa-apa yang baik ajelah, Puan…” Mak Limah senyum.
Suraya membasuh tangan lalu bangun tanpa mempedulikan topik yang ditimbulkan oleh ibunya itu.
“Haa… tengok anak awak ni… orang cakap untuk kebaikan dia juga, tapi, dia buat tak tahu aje…. Degil! Macam ayahnya jugak….,” bebel Datin Farina melihatkan sikap Suraya yang negatif. Suraya sudah berada di anak tangga terakhir menuju ke tingkat atas.
“Eh, awak ni… marahkan anak, kita pula yang kena…, macam perangai ibunya jugak…,” balas Dato’ Zahari pula. Dia menggeleng-geleng perlahan kepalanya.
Datin Farina mendengus dan tunduk menghabiskan makanannya.
Dato’ Zahari tersenyum.

Farina…. Farina…. Tak habis-habis perangainya…



Sunday, September 21, 2014

Ceritera Diri : Corak Geo dan Personaliti Anda




Pilih corak di bawah yang menggambarkan anda secara tepat/ paling hampir.

Pakar psikologi telah mencipta corak2 tersebut. Mereka telah mengujinya di peringkat global, selama beberapa tahun. Terdapat 9 jenis personaliti asas.


1- Introspektif, Sensitif, Reflektif
Anda dapat memahami diri dan persekitaran anda dengan lebih kerap dan mendalam jika dibandingkan dengan kebanyakan orang lain. Anda bencikan kedangkalan; anda lebih sanggup bersendirian berbanding dengan bercakap perkara remeh. Perhubunan anda dengan rakan-rakan adalah amat intensif; ini memberikan harmoni dan ketenangan dalaman yang mengakibatkan perasaan baik. Anda tidak keberatan bersendirian bagi jangka masa yang panjang; anda jarang berasa bosan.

2- Berdikari, Tak Konvensional, Tak Tersangkut
Anda mengehendaki kehidupan bebas dan tak tersangkut untuk membenarkan anda menentukan arah tuju sendiri. Anda mempunyai kecenderungan seni dalam pekerjaan atau aktiviti riadah. Kadang kala, deskan anda untuk kebebasan menyebabkan anda melakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang dijangkakan daripada anda.

3- Dinamik, Aktif, Ekstrovert
Anda rela menerima risiko-risiko tertentu untuk mendapatkan kerja yang menarik dan pelbagai. Sebaliknya, rutin berkecenderungan untuk meninggalkan kesan lumpuh pada diri anda.Anda suka sekali berupaya memainkan peranan aktif dalam peristiwa dalam hidup anda. Dalam usaha anda yang berkenaan, inisiatif diri sangat nyata.

4- Terus Terang, Seimbang, Harmoni
Anda menghargai gaya natural dan suka perkara yang tak rumit. Orang lain mengagumi anda kerana anda praktikal dan mereka boleh bergantung kepada anda. Anda memberi orang yang rapat dengan anda rasa selamat dan kelapangan. Anda dipersepsikan sebagai orang yang mesra dan insani. Anda menolak segala yang menyilaukan dan lapuk. Anda berkecenderungan untuk berasa skeptik terhadap kehendak trenda fesyen. Bagi anda, pakaian haruslah praktikal dan tampan tanpa menonjol.

5- Profesional, Pragmatik, Yakin Diri
Anda menguasai hidup anda dengan lebih mempercayai usaha sendiri daripada nasib. Anda menyelesaikan masalah dengan ragam yang praktikal dan tak rumit. Anda memandang secara realistik unsur-unsur dalam hidup dan menanganinya tanpa ragu-ragu. Anda diberi banyak tanggungjawab di tempat kerja kerana orang lain boleh bergantung kepada anda.
Kekuatan azam anda yang menonjol menunjukkan sifat keyakinan diri kepada orang lain. Anda tidak berpuas hati sepenuhnya sehingga anda telah mencapai idea-idea anda.

6- Tenang, Berhati-hati, Tak Agresif
Anda mudah berbicara tetapi bersifat berhati-hati. Walaupun anda berkawan dengan mudah anda menikmati persendirian dan kebebasan. Anda suka memencilkan diri dari masa ke masa untuk merenung tentang erti hidup serta menikmati sendirian diri. Anda memerlukan kelapangan, jadi anda berlepas ke tempat bersembunyi yang permai. Namun, anda bukan penyendi. Anda berdamai dengan diri sendiri dan dunia, serta anda menghargai hidup anda dan apa yang ditawarkan oleh dunia ini.


7- Tanpa Bimbang, Berkelakar, Riang
Anda suka hidup yang bebas dan spontan. Anda cuba menikmati hidup anda dengan sepunuhnya mengikut motto: "Anda cuma hidup sekali."Anda bersifat ingin tahu dan terbuka kepada segala yang baru; anda memajukan diri atas perubahan. Tiada yang lebih buruk daripada rasa diikat. Anda mengalami persekitaran sebagai sesuatu yang versatil dan sering menakjubkan.


8- Romantis, Pelamun, Beremosi
Anda seorang yang sensitif. Anda enggan memandang dari segi rasional dan waras sahaja. Perasaan anda membawa erti yang sama penting. Anda berpendapat bahawa harapan adalah penting dalam hidup.Anda menolak orang yang mencaci romantisme dan hanya dipandukan oleh rasionaliti. Anda tidak membenarkan sebarang kongkongan terhadap variasi perasaan hati dan emosi anda.

9- Analitik, Amanah, Keyakinan Kendiri
Perasaan halus anda bermutu tinggi dan tahan lama. Akibatnya, anda suka mengelilingi diri dengan "permata-permata" yang anda temui sendiri apabila orang lain terlepas perhatian.
Justeru itu, kebudayaan memainkan peranan khas dalam hidup anda. Anda telah menjumpai gaya peribadi sendiri, yang tampan dan ekskusif - serta bebas daripada olahan fesyen. Kehidupan anda adalah berlandaskan ideal diri iaitu kesukaan yang beradab. Anda menghargai sesuatu tahap kebudayaan daripada orang yang anda berkawan.

Jom Dengar Lagu : Pergi Selamanya - Kamikaze




Saturday, September 20, 2014

Mari Dengar Satu Cerita : Kisah Seorang Pemuda Bertaqwa dan Paderi





Ada seorang pemuda Arab yang baru sahaja tamat belajar di Amerika. Pemuda ini adalah salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah berupa pendidikan agama Islam bahkan dia mampu mendalaminya. Selain belajar, dia juga seorang pendakwah Islam. Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah s.w.t. memberinya hidayah masuk Islam.


Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula mula dia keberatan, namun kerana desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku dengan hening, sebagaimana kebiasaan mereka.

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Di saat itu, si paderi agak terbeliak ketika melihat kepada para hadirin dan berkata, ‘Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini.’ Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata, ‘Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya.’ Barulah pemuda ini beranjak keluar.

Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi, ‘Bagaimana anda tahu bahawa saya seorang Muslim?’Paderi itu menjawab, ‘Dari tanda yang terdapat di wajahmu.



Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan kehadiran pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan agamanya. Pemuda Muslim itupun menerima tentangan debat tersebut.


Paderi berkata, ‘Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat.

Si pemuda tersenyum dan berkata, ‘Silakan!’

Sang paderi pun mulai bertanya,:

‘Sebutkan satu yang tiada duanya, dua yang tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada limanya, lima yang tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada delapannya, delapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya, sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya.’

‘Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh! Apa yang dimaksud dengan kubur berjalan membawa isinya? Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam surga? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia tidak menyukainya? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!’

‘Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api dan siapakah yang terpelihara dari api? Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?’

‘Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar! Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?’

Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah.

Setelah membaca ‘Bismillah…’ dia berkata,:

Satu yang tiada duanya ialah Allah s.w.t..

Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah s.w.t. berfirman, ‘Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami).’ (Al-Isra’: 12).

Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.

Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur’an.

Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.

Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah s.w.t. menciptakan makhluk.

Tujuh yang tiada delapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah s.w.t. berfirman, ‘Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang.’ (Al-Mulk: 3).

Delapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy ar-Rahman. Allah s.w.t. berfirman, ‘Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung ‘Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka.’ (Al-Haqah: 17).

Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mu’jizat yang diberikan kepada Nabi Musa yaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin topan, musim paceklik, katak, darah, kutu dan belalang.

Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah s.w.t. berfirman, ‘Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali lipat.’ (Al-An’am: 160).

Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah Saudara-Saudara Nabi Yusuf .

Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mu’jizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, ‘Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, ‘Pukullah batu itu dengan tongkatmu.’ Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air.’ (Al-Baqarah: 60).

Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.

Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh. Allah s.w.t. berfirman, ‘Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing.’ (At-Takwir: 18)

Kubur yang membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus AS.

Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam surga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf, yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, ‘Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala.’ Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, ‘Tak ada cercaan terhadap kamu semua.’ Dan ayah mereka Ya’qub berkata, ‘Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’ (Yusuf:98)

Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keldai. Allah s.w.t. berfirman, ‘Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keldai.’ (Luqman: 19).

Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Shalih dan Kambing Nabi Ibrahim.

Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim. Allah s.w.t. berfirman, ‘Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim.’ (Al-Anbiya’:69).

Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Shalih, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya Wanita, sebagaimana firman Allah s.w.t. ‘Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar.’ (Yusuf: 28).

Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi. Namun dia mengurungkan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan ini disetujui oleh paderi.

Pemuda ini berkata,:

‘Apakah kunci surga itu?’

Mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kekuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak.

Mereka berkata, ‘Anda telah melontarkan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya!’
Paderi tersebut berkata, ‘Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut kalian marah.’

Mereka menjawab, ‘Kami akan jamin keselamatan anda.

Paderi pun berkata,:

‘Jawapannya ialah: Asyhadu An La Ilaha Illallah , Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah.

Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa

Teringat-ingat : Takde Tajuk




Lihatlah sekitar alam
Dunia luas terbentang



Sabtu. Mendung. Hujan sedari pagi di lembah klang ini.
Seronok berguling-guling di atas katil sambil bermalas-malas :P  ^____^
Sambil tu belek-belek novel dan intai tab, tgk apa2 yang menarik seketika.

Sambil belek teringat satu detik.
Waktu itu di suatu hari di hari kedua raya.
Situasi di Kota Bharu. Kawasan penempatan lama sewaktu waktu membesarku.
Di pinggir bandar KB. Kalau dahulunya, naik bas tambang 40/50 sen dari hadapan sekolah MML tu.

Setelah berpindah ke rumah kami sekarang yang berlokasi juga di pinggir bandar KB, tidak jauh,
Namun berlainan jalan dan arah dari penempatan waktu membesarku.

Teringat-ingat jika di waktu cuti sekolah ini, aktiviti kami (baca: games/ permainan) pastinya penuh.
Riang mengatur tiap masa agak penuh. Pagi game. Riang, riuh dan meriah kami bermain dengan sejumlah kumpulan yang besar. Dahulu pelbagai games, pelbagai permainan dari tradisi sehingga yang terkini.

Dahulu, semua bersama sekarang, more individualistik.
Dahulu kami bermain baling selipar (bola kaki tiga, kata kami orang klate), baling tin, rounders, malah zero point (lompat tali, istilah kami di sebelah sana).. Kadangnya bermain carom, ada kala congkak.. Banyak kadang juga polis sentri, atau main sembunyi-sembunyi.

Ok, sebenarnya apa yang aku nak sampaikan ni? Heheheh
Dalam berkumpulan, pastinya ramai percampuran antara lelaki dan wanita
Opss, silap.. Budak lelaki dan budak perempuan.
Kami mesra dan semua dianggap saudara..

Namun, hati orang, mana kita tau dop *smile*
Aku banyak simpan cerita kawan baik lelaki ku ni yang meminati kawanku sendiri.
Padaku dia bercerita, dan aku mendengar.. Sesekali memberi galakan.. Haha

Namun tidak di sangka pula, rupanya adik B, rakanku tadi.
Adiknya N, diam2 suka kan aku. Sumpah tak tahu. Hehe..
Sejak bila? Pun aku rak tahu...
Rupanya betul la kot tiap kali adik2 perempuan mereka yang
baik denganku berkirim salam.
Ku fikirkan hanya main-main.

Back to hari di hari raya. Aku ke sana biasa bersama mak ayah dan adik beradik yg kebetulan balik dr satu majlis kenduri. Menyinggah di situ sebentar. Sambil bertemu balik rakan taulan, imbas kembali jugak penempatan lama yang tidak jauh berubah. Masa sama walau melebihi 15 thn kami tinggalkan.

Memasuki laman rumah mereka, kami terpandangkan N. Dengan senyum2 simpul menyapa kami dan kedua ibu bapa. Lantas teringat kata-kata adik lelakiku, Z. "Tiap kali lalu sini, atau terjumpa N, soklan pertama dia tanya mung. Buat gapo, dok mano"  "Tadi jumpa pun tanya soalan sama."
Macam macam lagi la."

Back to realiti. Macam tak sangka selepas berbelas tahun.. Jarang sekali berjumpa dan bersua muka.
Kami berborak sebentar. Dia masih dengan senyum-simpul-malu. Tetiba pula teringatkan perjumpaan kami di Foodcourt Presint 8, Putrajaya. Sewaktu itu, dia dan B bersama I kedua abangnya. Cuma aku perempuan. Kami berempat dari KB berjumpa di situ. Kebetulan masing2 ada kerja di sana, aku pula kebetulan bekerja di sana ketika itu. Jadi, there we are. Kami jiran yang amat rapat, selain rakan sepermainan sewaktu kecil. Kami sudah diumpamakan saudara sendiri. Susah senang antara keluarga, membantu antara satu dengan yang lain.

B jugalah merupakan rakan dan pemandu pertama sewaktu kereta pertama ku untuk balik ke kampung halaman sewaktu pertama kali balik di hari raya dengan kereta sendiri. Dua kali trip dia yang menolongku. Sebelum aku sendiri berani drive dr KL-KB atau KB-KL sedari awal usia remaja dahulu. Kami sering konvoi bersama abang sulung nya I dan rakan2 UKM mereka yang lain.

mode : sedih dah lama tak bersua muka. Lama tak berhubungan semenjak masing2 bizi dalam arus kehidupan masing2, tambah pula semenjak masing2 berkeluarga ni. *sad*

Berbalik kepada cerita di hari raya itu, kami berborak seketika sebelum aku menyusul keluarga ku yang lain terlebih dahulu dah masuk ke rumah meninggalkan kami berborak seketika. N, yang aku perhatikan. Masih manis seperti dahulu. Namun seiring dengan pertambahan usia. Kami sebaya.

Namun dia dah 2... Aku masih sendiri.. Dia juga lah mungkin menjadi lambang penyatuan arwah abahnya yang juga 2.. Setahu ku dahulu, dua keluarga mereka jarang bersatu... Namun setelah dia juga 'dua' di usia yang sangat muda di usia 24/23 ketika itu.. Jadi keluarga besar mereka juga turuy bersatu. Ada hikmah di sebalik semua yang berlaki itu... Sekurangnya sebelum arwah menutup mata, tenang dan aman sebelum ke sisiNya.

Sebelum berlalu, aku minta diri dan dia jawab ya la kkasih.
Owhh, kita pernah berkasih ke? Spontan aku menjawab membalas gurauan
Ehhh.. Awak mana tauuuuu... Jawapan dia aku akhiri dengan senyuman dan berlalu ke atas rumah berjumpa dan bersua muka dengan mak dan saudara perempuannya yang lain serta juga kedua orang rumah N ^____^

NotakakiHD : Dalam hidup ini, kadang-kadang kita rasakan kita bersendirian, tiada siapa yang peduli, tiada siapa yang sayang.. Namun di sebaliknya kadang2 kita tidak tahu, ada juga hati-hati dan insan yang menyayangi kita dari jauh dengan ikhlas.. Yang tidak mungkin pernah diluahkan... Jadi, hargailah dan sayangi lah kembali insan dan apa seadanya di sekeliling kita. Jaga hati dan juga perilaku. Mudahan bahagia milik kalian dan aku juga kelak. :)

NotakakiHD2 : motif mood melankolil di hari minggu nan mandom ni?! Lol



Cerpen : Kasih Kita

“Aku tak tau la Shim.. aku keliru dengan perasaanku… Sana aku sayang.. yang sini aku rindu…. Aku buntu..”  sambil mengeluh Izat mera...