Novel : Kemelut Kasih - Part 8


~EighT~


Bab 8

          "Charina Shafini, ada orang nak jumpa di bawah sekarang….," terdengar laungan dari seorang siswi dari tingkat bawah. Charina yang sedang enak menonton siaran drama bersiri kantonis Cina itu tersentak apabila mendengar namanya dilaungkan. Dia bergegas mendaki anak tangga menuju ke arah biliknya yang berada di tingkat dua untuk mengenakan baju yang lebih kemas dan membetulkan keadaan dirinya sebelum bertemu tetamunya itu. Setelah berpuas hati dengan penampilan dirinya itu, dia melangkah turun ke foyer blok.

        Charina menduga Farid yang ingin menemuinya memandangkan dia sering ke mari menemuinya, meskipun kadang kalanya tanpa sebarang sebab, hanya sekadar untuk melepas rindu, begitulah alasan yang sering Farid utarakan apabila dia melarang Farid dari berkunjung menemuinya di KOSASS ini.

"Tak manis," begitulah alasan dari pihak Charina pula apabila Farid meminta sebab kenapa dia dilarang ke mari. Selain itu, dia bimbang sekiranya makwe Farid cemburu melihat perhubungan antaranya dengan Farid yang semakin intim itu. Tetapi Farid sering mengatakan dia tiada kekasih hati dan sedang mencari.
          "Huh, lelaki…. Sering menafikan diri sudah berpunya, semata-mata untuk mencari koleksi lain…," itu pendapat Charina, tetapi dia tahu tidak semua lelaki bersikap sedemikian. Tetapi kalau-kalaulah yang tidak semua itu terkena kepada salah seorang daripada rakan-rakan lelaki yang merapatinya itulah yang ingin dia hindari. Lagipun, dia pernah melihat Farid bersama-sama seorang pelajar perempuan yang bertudung di food court beberapa hari yang lepas. Amat mesra sekali perlakuan mereka berdua. Sebelum itu dia terlihatkan Farid bersama gadis lain yang tidak bertudung dan agak seksi.
          Tepat dugaannya apabila dia melihat Farid yang sedang releks di sebuah kerusi yang berada di foyer blok Napuh itu. Demi sahaja melihat Charina, Farid tersenyum manis sambil bangun menghampiri Charina yang berjalan menuju ke arahnya.
          "Hai., Cik Charina Shafini… kenapalah setiap kali saya memandang Tuan Puteri semakin hari semakin jelita?" Mulut manis Farid mula menjalankan tugasnya seperti selalunya. Charina hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan.
          "Hai Tuan Putera, kenapa setiap kali kita bertemu hanya ungkapan itu yang sering dikau lontarkan kepadaku? Apakah itu semua itu adalah ikhlas atau atas dasar membodek, mengampu, ambil hati atau perbuatan-perbuatan yang sama waktu dengannya?" Suara Charina pula membalas gurauan Farid tadi.
          "Apakah kedatangan Tuan Hamba ini hanyalah semata-mata untuk memuji kecantikan hamba sahaja?" Sambungnya lagi.
          Farid tergelak-gelak kecil. "Waa… hebatlah lakonan Tuan Puteri Kembang Semangkuk ini nampaknya … eh, Laici Segelas la.... Bikin tergugat hamba untuk memenangi hadiah pelakon terbaik kelak…. Nanti hamba tak dapatlah cari makan, Tuan Puteri," ujar Farid lagi Dia tergelak-gelak kecil apabila menyebut laici segelas itu. Begitu juga dengan Charina yang turut tergelak apabila mendengar laici segelas itu disebut. Peristiwa yang amat memalukan dirinya itu kembali menjelma di ingatannya.
          "Dah lah, jangan disebut lagi peristiwa yang berlalu, malukan saya aje…," Ujar Charina menamatkan gurauan mereka. "Sebenarnya kenapa awak datang sini ni? Tak boring ke selalu datang sini?" Soal Charina terus terang. Sebenarnya dia tidak berapa menyukai Farid sentiasa ke mari menemuinya, tetapi memandangkan Farid nampaknya suka ke mari, tidak sampai hati pula untuk dia menghalaunya.
          "Eh, tak boleh ke…?" Suara Farid kembali. "Takpelah kalau orang tak suka…." Sambung Farid lagi seolah-olah berjauh hati.
          Memang! Tapi suara itu hanya bergema di dalam kerongkong Charina sahaja.
         "Bukan maksud saya begitu… tapi tak manislahkan kalau awak asyik datang jumpa saya, kita bukannya ada apa-apa hubungan. Makwe awak tak marah ke?" Jelas Charina membetulkan keadaan.
         Farid mengatur langkah menuju ke kerusi yang terletak di bawah sepohon pokok yang rendang di Dataran KOSASS.                          Sebenarnya kerusi-kerusi itu memang disediakan khusus untuk pelawat-pelawat yang datang menemui pelajar di kolej ini dan ia juga bertujuan memudahkan para pelajar berdiskusi dan berbincang sesama sendiri. Biasanya jika musim peperikasaan semakin mendekat, pastinya kerusi-kerusi batu itu penuh diduduki. Tetapi jika tidak musim peperiksaan pun, kerusi itu selalunya dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang yang berborak-borak sesama sendiri.
          "Charina, kan saya dah kata saya tak ada makwe, so, takde siapa yang nak marahkan saya…," Jelas Farid lagi. "Yalah, kalau orang dah tak sudi…. Nak buat macam mana kan…." Suara Farid lagi.
             Charina turut melangkah menuju ke arah kerusi batu yang diduduki Farid itu dan duduk di kerusi yang bertentangan dengannya. Dia memerhati wajah pemuda berdarah bangsawan itu.             Kacak! Tetapi tiada getaran di dadanya yang membolehkan dia menerima pemuda berdarah Tengku itu sebagai teman hatinya, sekalipun jika dia belum bertunang sebelum ini. Dia terdiam seketika mencari perkataan yang paling sesuai untuk tidak melukakan hati Tengku Farid .
          "Farid, awak sedar tak yang kita ni baru sahaja berkawan, tak sampai pun sebulan lagi, jadi, saya rasa awak tak sepatutnya mengharapkan sesuatu daripada saya. Lagipun kita masih tak mengenali di antara satu sama lain, Farid." Dia terdiam seketika sebelum menyambung kembali . 
          "Lagipun saya masih belum bersedia untuk terikat dengan sesiapa pun buat masa sekarang." Charina menundukkan kepalanya. Dia tahu, ayat terakhir tadi adalah dusta semata kerana sekarang dia telah pun terikat dengan Shahrul sebagai tunangannya.
          Charina menelan liurnya perlahan. Keadaan sekeliling tenang meskipun terdapat beberapa pasang couple yang sedang berdating tidak jauh daripada kerusi mereka. Sementara di hujung sudut kawasan taman ini pula terdapat sekelompok pelajar-pelajar sedang berbual sesama sendiri, mungkin mereka itu adalah petugas yang menjaga koperasi kolej pada waktu itu bersama beberapa orang rakan yang melepak di situ.
          "Kalau begitu takpelah, saya akan menunggu sehingga awak bersedia kelak." Jawab Farid pula tidak berputus asa.
          Charina mengeluh perlahan. Eeeee…. Kenapalah susah sangat dia ni nak faham….!! keluh Charina di dalam hati. "Suka hati awak lah, tapi sebelum tu saya nak beritahu awak, hasrat hati awak tu tak akan kesampaian, baik awak lupakan sahaja hasrat hati awak tu. Saya lebih senang dengan hubungan kita sebagai kawan sahaja."
          "Kenapa, apakah saya ni tak layak untuk awak… Saya ni berdarah hijau ke… atau saya ni berdarah kuning…… Apa salah saya Charina sehingga awak tak boleh menerima saya?" Suara Farid yang tadi perlahan kini meninggi sedikit sehingga menarik perhatian sepasang kekasih yang berada tidak jauh dari kerusi mereka itu. Si gadis berpaling-paling beberapa kali, sementara si lelakinya pula merenung mereka berdua.
          Charina kenal budak perempuan tersebut merupakan pelajar perempuan daripada Blok Pelanduk sementara pelajar lelakinya pula adalah Setiausaha Blok Kijang yang pernah cuba menguratnya dulu sewaktu dia masih di Minggu Orientasi dan pernah beberapa kali mengutusi surat kepadanya tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas daripadanya.
          Charina senyum nipis kepada pasangan itu yang mengenalinya dan kembali memandang Farid. Farid juga turut memandang ke arah pasangan tadi setelah menyedari diri mereka diperhatikan. Setelah itu dia kembali memandang Charina yang berada di kerusi di hadapannya itu.
          "Awak tak patut meninggikan suara macam ni kat saya." dalam lembut Charina melepaskan keluhan kecil. Suasana sunyi seketika. "Tapi… saya tetap tak dapat menerima awak sebagai kekasih saya…," Suara Charina lagi lembut. "Lagipun saya rasa lebih baik saya berterus terang sekarang kerana saya tak mahu awak menyalahkan saya di masa depan kelak. Saya tak mahu nanti awak kata saya memberi harapan terhadap awak pulak." Senyap.
           "Lagipun, saya tahu awak bukan berdarah hijau... macam citer 'V' tu... Lama-lama mengecut, macam katak" tambah Charina cuba bersenda untuk menghilangkan suasana yang dirasakan sedikit tegang. Namun, gurauannya langsung tidak disambut Farid. Mukanya masih tegang.
          Kebetulan di waktu itu Anita dan seorang rakan sebloknya lalu menuju ke koperasi melalui tempat duduk Charina itu. Dia mengangkat keningnya sambil melemparkan senyuman sinis. Charina membalasnya tawar. Tiada mood untuk menegur meskipun itu kawan sekuliahnya dan teman baiknya sendiri. Farid sekadar memerhati adegan itu tanpa bersuara. Charina juga turut senyap. Setelah beberapa minit, Farid kembali membuka mulutnya.
          "Saya dapat rasakan awak adalah teman yang tepat untuk saya, jadi saya tak akan berputus asa, walau apa pun alasan awak… ," dia bersuara lalu bingkas dari tempat duduknya.
"Saya balik dulu…" Sebaik sahaja habis bercakap, Farid terus berlalu menuju ke Satria Neonya itu tanpa berpaling. Charina memerhati sahaja Farid yang berlalu ke keretanya.
          Setelah itu dia kembali mendaki tangga menuju ke biliknya di tingkat dua. Sewaktu dia mendaki tangga dia ternampak satu notis mengenai Malam Meraikan Graduan (MMG) yang bakal diadakan untuk meraikan bakal-bakal graduan yang akan bergraduat pada bulan Julai nanti. Di notis itu menyediakan beberapa tempat kosong yang perlu diisi oleh para pelajar yang sukarela untuk menjadi ahli jawatankuasa kepada MMG itu.

          Charina memerhatikan sudah terdapat beberapa nama yang mengisi nama mereka untuk AJK yang mereka pilih. Sepintas lalu dia memerhatikan notis tersebut. Mira, Zazila dan Rozana memilih untuk mengisi jawatan AJK Sambutan dan Protokol. Sementara Sheeda dan Dila pula mengisi untuk AJK Kesenian dan Kebudayaan. Dia berkira-kira sebentar sambil memerhati secara rambang beberapa AJK lagi yang masih mempunyai banyak kekosongan.
          "Hmmm… ambil AJK Sambutan dan Protokol pun best gak ni, boleh pakai baju glamour-glamour sikit…." Putus Charina akhirnya, mengikut jejak tiga rakannya yang terdahulu. Tapi, dia tidak mempunyai pen untuk mengisinya. Jika lambat diisi, peluangnya akan terlepas ke tangan pelajar lain yang terlebih dahulu mendaftar nama. Tetapi untuk menaiki tingkat dua dan turun semula, malas pula rasanya…., fikirnya lagi. Kebetulan sewaktu itu Yati yang baru pulang dari kelas melalui kawasan itu.
          "Wey, wak mende sini nie…" tegur Yati yang pekat dalam loghat Ganunya, menganggu Charina yang sedang leka. Dia juga menatap notis tersebut bersama coursematenya yang juga sering melepak di bilik mereka , Ita.
       "Haa… molek jugok awok lalu, Yati… Ni, sayo nok isi nama volunteer AJK ni tapi takdok pen. Pinjam pen awok sekejap." Balas aku kemudiannya. Mereka berdua turut memerhati notis itu.
          "Haa… ok gak ni,Ti… Ita pun nak isi nama jugak… Errr, kita nak isi tang mana ni, Erin…" Suara Ita pula yang pekat dengan loghat Kedahnya itu.
          "Erin ingat nak isi dekat AJK Sambutan dan Protokol ni… Okay gak la, boleh pakai baju glamour… boleh pakai rossette lagi. Amacam, ok tak?" Soal aku meminta pendapat mereka sambil mengangkat kening beberapa kali.
           "Ok, sounds like good idea." Ujar Ita bersetuju
            "Comeyyy….." Suara Yati pula turut bersetuju. Ibu jarinya ditegakkan ke atas.
             "Kita bubuh nama Syiking sekali terus la…" Usul Yati kemudiannya.
            "Buleh! No probs…. Syiking pung Syiking lah…" Balasku mengajuk percakapan Ganu Yati yang pekat sambil mengisi nama kami, nombor matrik dan nombor bilik kami. Setelah itu kami beredar ke bilik. Sewaktu kami mendaki dua anak tangga, terdapat tiga orang lagi pelajar first floor yang singgah menatap notis tersebut. Kami berborak-borak sehinggalah tiba di bilik.
            "Erin, budak yang selalu dok mai jumpa Erin tu sapo? Gewe ko…" Soal Ita dalam loghat campur-campur, ingin tahu. Mungkin dia hairan kerana kebelakangan ini Farid kerap datang berjumpaku.
              "Dok aih, kawan jer la…."
               "Buleh cayo ko… sampai hari-hari maghi temu Erin, bukang gewe lagi?" Soal Yati lagi. 
               "Takkan tok mboh kabor mende jugok ko roommates… ," pujuknya lagi ingin tahu.
                "Tok tau la Yati…. Erin anggap dia macam biasa tapi… tok tau la dia tuh…." Ringkas aku menerangkan.
                "Oooo… gitu…" Kami sampai di bilik. Ita pula menghala ke arah biliknya di 4206 sedangkan aku dan Yati ditempatkan di bilik 4201. Setelah tiba di bilik Kak Linz dan Syikin sedang menikmati minum petang bersama simpanan-simpanan dan stok makanan yang ada. Setelah menyalin pakaian, kami turut sama menyertai mereka dan tidak berapa lama kemudian Ita turut datang menyertai kami.


        Minggu-minggu yang berikutnya kami kembali sibuk seperti semester-semester yang lepas dengan pelbagai aktiviti di kolej, individu mahupun ujian-ujian di fakulti. Namun itu masih tidak menghalang kami daripada bersuka ria keluar meronda sekitar ibu kota. Ada ketikanya kami akan beramai-ramai keluar bershopping di pasaraya-pasaraya di Kuala Lumpur yang tumbuh melambak untuk tujuan warga kota menghabiskan duit masing-masing, apalagi bagi golongan pelajar seperti kami, terutamanya selepas menerima wang pinjaman daripada MARA, JPA, PTPTN dan lain-lain sponsor lagi.

           "Eh, Erin.. Yati…. malam ni kita ada mesyuarat AJK Sambutan MMG tu tau…" Ujar Syikin sewaktu dia muncul dari luar. Dia berjalan ke arah meja sambil meletakkan beg dan failnya ke atas meja tulisnya.
           "Ya ke, tau kat ne?" Soalku ingin tahu.
            "Kat papan notis kat bawah tu." Jawab Syikin pula sambil menyalin bajunya.
            "Eh, tadi saya lalu bawah tu tapi takde apa-apa pun…," ujar Yati pula. Tadi dia baru balik dari bertugas di Koperasi KUP7.
            "Baru tampal kot." Ujar aku menjawab bagi pihak Syikin.
             "Linz mana?" Soal Syikin setelah melihat Kak Linz tiada di bilik.
              "Mandi." Aku dan Yati serentak menjawab.
              "Haa… nak gi mandi jugaklah… panas… ," suara Syikin sambil berlalu mengambil tualanya dan berlalu keluar.
                "Ha… pergi la… busukk….," ujarku bergurau.
                "Eleh, mentang-mentang la dia dah mandi….." balas Syikin.
                "Baik pergi nun mandi cepat-cepat, nanti takde air kang…" Yati pula menyampuk. Lagipun blok mereka dan terutamanya dua tingkat teratas, yakni tingkat 2 dan tingkat 3 sering keputusan bekalan air semenjak akhir-akhir ini.
               "Orang nak pergi dah la…," balas Syikin lagi sambil mencapai barang-barang keperluannya dan terus berlalu. Sementara itu aku dan Yati kembali menyambung borak sementara menunggu Azan Maghrib.

Comments

Popular posts from this blog

Edisi Jalan-Jalan : Ber-CH- lagik...

Novel : Kemelut Kasih - Part 33

Novel : Kemelut Kasih - Part 27