السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
~Lihatlah sekitar alam..
Dunia luas terbentang..~
Dalam Kitab Minhajul Qasidin, Ibnu Qudamah al-Maqdisy sempat
mencatatkan sebuah kisah yang mahsyur mengenai keikhlasan. Kisah ini
diriwayatkan oleh al-Hassan. Ayuh kita hayati kisah ini dan mengambil
ibrah daripadanya.
Pada zaman dahulu ada sebatang pokok yang disembah oleh orang ramai,
seorang lelaki pergi kepadanya dan berkata, "Aku akan menebang pokok
ini." Dia pun pergi bagi menebang pokok itu. Di pertengahan jalan, dia
terjumpa syaitan yang menjelma sebagai seorang lelaki, dan berkata
kepadanya,
"Apa yang engkau ingin lakukan?"
Dia menjawab, "Aku ingin menebang pokok ini yang disembah selain Allah taala."
Syaitan berkata, "Jika kamu tidak menyembahnya, apakah mudarat kepadamu jika orang lain menyembahnya?"
Lelaki itu berkata, "Aku tetap menebangnya."
Syaitan itu berkata kepadanya, "Adakah kamu mahu perkara yang lebih
baik lagi daripada melakukan perkara ini? Jangan tebang itu dan kamu
akan mendapat sebanyak dua dinar yang terletak di bawah bantalmu setiap
pagi."
Lelaki itu berkata, "Siapa yang akan bagi?"
Syaitan berkata,
"Aku."
Dia pun pulang ke rumah dan keesokan paginya, dia mendapati ada
dua dinar di bawah bantalnya.
Pagi seterusnya, dia mengangkat bantal tetapi tidak menjumpai
apa-apa. Serta merta dia menjadi marah dan berazam mahu menebang pokok
itu semula.
Syaitan kembali menjelma di hadapannya dalam bentuk yang serupa dan berkata, "Apa yang kamu mahu lakukan?"
Dia berkata, "Aku ingin menebang pokok ini yang disembah selain Allah taala."
Syaitan berkata, "Kamu bohong, kamu tidak akan mampu menebangnya."
Lalu lelaki itu mara ke depan untuk menebang, tiba-tiba syaitan itu
memukulnya hingga jatuh tersungkur, lantas mengcekik sehingga hampir
membunuhnya.
Kemudian syaitan berkata kepadanya, "Kamu tahu siapa aku? Aku adalah syaitan."
Syaitan berkata lagi, "Kali pertama kamu datang untuk menebang pokok
itu kamu memang marah kerana Allah dan ketika itu aku tidak boleh
mengalahkan kamu. Dengan dua dinar, aku berjaya menipu kamu dan kamu tidak jadi
menebangnya. Apabila kamu kembali untuk kali kedua, ketika itu kamu
marah kerana dua dinar tersebut. Oleh sebab itulah, aku berjaya mengalahkanmu."
Muhasabah Pemuda
tersebut adalah pelambangan diri kita sebagai hamba Allah, kedua-dua
sifat itu maujud dalam diri kita yang serba daif ini.
Kita mungkin sahaja seorang yang ikhlas pada awalan babak namun
berakhir dengan sebaliknya, atau sahaja mungkin kita bermula dengan
terpaksa namun akhiran adalah keikhlasan dan kelazatan iman yang
membuak-buak.
Al-Quran sendiri banyak kali menekankan mengenai keikhlasan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah yang bermaksud:
"Padahal mereka tidak diperintah melainkan
mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas beribadat kepada-Nya, malah
tetap teguh di atas tauhid." (Surah al-Bayinah, ayat 5)
Kemudian Allah berfirman lagi yang bermaksud:
"Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan kepada
Allah) ialah segala ibadat dan amalan yang suci bersih (daripada segala
bentuk kesyirikan)." (Surah az-Zumar, ayat 3)
Jelas dan nyata umat Islam perlu ikhlas malah diwajibkan ikhlas dalam
menjalani kehidupan sebagai hamba Allah. Bukan sahaja dalam ibadat
khusus, dalam setiap amalan dan perbuatan harian yang lain juga mesti
diikhlaskan kerana Allah.
Ini kerana lawan kepada ikhlas dalam berakidah kepada Allah adalah
syirik kepada Allah, dan sebesar-besar dosa di sisi Allah adalah
syirik.
Muaz bin Jabal meriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Ikhlaskanlah (amalan) agama kamu, nescaya amalan
yang sedikitpun akan mencukupkan kamu." (al-Hakim dan al-Dailami,
disebut juga dalam Jami' As-Sangir karangan Imam as-Sayuti)
Ujian keikhlasan
Waktu keikhlasan paling teruji adalah ketika dalam solat, sama ada wajib ataupun sunat.
Sebagaimana yang dinyatakan, kita mungkin bermula dengan penuh
keikhlasan namun berkakhir dengan sebaliknya dan mungkin kita bermula
dengan kurang memberikan perhatian namun tiba-tiba terasa nikmat dan
kelazatan raja' kepada Allah saat dalam rukuk dan sujud dan sebagainya.
Solat adalah medan yang terbaik bagi menguji keikhlasan. Kalau dalam
solat kita boleh berlaku ikhlas nescaya dalam urusan dan ibadat lain
juga tidak menjadi masalah.
Diceritakan kepada kami dalam satu kuliah, ustaz berkata, "Kalau mahu
tahu seseorang itu ikhlas atau tidak dalam solatnya, maka lihatlah
apakah kualiti beliau bersembahyang di masjid sama dengan kualiti beliau
sembahyang seorang diri di rumah atau depan lembu!?" Kata kuncinya
adalah usaha.
Allah menyatakan yang bermaksud: "Maka berazamlah, dan bertawakal kepada Allah."
sumber : iluvislam